PENGGUNA memilih sayuran di Pasar Chow Kit. FOTO Arkib NSTP.
PENGGUNA memilih sayuran di Pasar Chow Kit. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Harga keperluan makanan terutama barangan mentah naik mendadak bermula bulan lalu menyebabkan peniaga pasar basah di ibu kota mengeluh dan mendakwa kehilangan hampir 50 peratus pelanggan.

Tinjauan di Pasar Chow Kit mendapati suasana pasar basah sebelum ini penuh dan sesak setiap pagi kini bertukar lengang.

Seorang pelanggan dikenali sebagai Mas Intan Hamdan, 37, berkata, kenaikan harga antara RM3 hingga RM5 untuk telur, daging dan sotong sangat dirasai ketika ini.

"Disebabkan itu keluarga saya kini lebih memilih juadah ikan berbanding makanan laut lain kerana berlaku kenaikan harga mendadak.

"Saya lebih memilih ke pasar raya berbanding pasar basah kerana harganya lebih murah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan harga di pasar basah kerana peningkatan mendadak harga yang membebankan pengguna.

Sementara itu, peniaga daging dikenali sebagai Ahmad, 40-an, berkata, kekurangan pelanggan semakin ketara selepas harga pelbagai barangan mentah naik mendadak bermula bulan lalu.

"Kami mengambil daging daripada pembekal pun sudah tinggi harga, jadi terpaksa jual dengan harga tinggi juga.

"Kami tidak mempunyai pilihan kerana keuntungan pun hanya sedikit namun faham bebanan ditanggung pengguna," katanya.

Seorang peniaga sayur di sebuah pasar di ibu kota mendakwa, kenaikan harga barangan mentah berikutan tiada pemantauan berkala dilakukan pihak berkuasa.

"Setiap kali pihak berkuasa datang, sesetengah peniaga akan menurunkan harga, kemudian sebaik mereka pulang, mereka akan menukar label kepada harga lebih tinggi.

"Taktik ini kebanyakan dilakukan peniaga warga asing kerana beranggapan undang-undang kita longgar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:07 PM