Aizat Sharif

Arau: Terdapat kenaikan mendadak harga sayur sawi dan ayam segar didapati di Perlis pada awal Ramadan tahun ini.

Tinjauan di Pasar Besar Arau mendapati harga ayam segar dijual pada harga RM7.49 pada minggu lalu mengalami kenaikan apabila mencecah RM8.20.

Malah, sayur sawi turut menunjukkan kenaikan harga yang lazimnya harga jualan hanyalah kira-kira RM6 untuk sekilogram namun mengalami kenaikan sebanyak RM2 kepada RM8.

Menurut seorang peniaga ayam daging, Ku Rosniza Ku Desa, 40, kenaikan harga ayam terutama pada Ramadan adalah sesuatu yang sukar dijangka.

"Harga ayam memang susah nak jangka kerana ia akan sentiasa naik mungkin disebabkan dedak sebagai makanan ayam itu sendiri naik harga, jadi ia turut memberi kesan kepada harga ayam.

"Tambahan pula, musim perayaan atau Ramadan seperti ini kenaikan pasti berlaku, bayangkanlah jika minggu lalu, harganya kira-kira RM7.50 tetapi boleh meningkat sehingga RM8," katanya.

Seorang peniaga sayuran, Marjita Othman, 40 berkata, harga sawi yang dijual di kedainya adalah RM8 dan kenaikan ini adalah disebabkan harga pemborong sayuran di Cameron Highlands yang semakin meningkat.

ANGGOTA KPDNHEP menjalankan pemantauan harga di Pasar Besar Arau. FOTO Aizat Sharif
ANGGOTA KPDNHEP menjalankan pemantauan harga di Pasar Besar Arau. FOTO Aizat Sharif

"Hal ini menyebabkan, saya kini beralih untuk mengambil stok sayuran yang tiba dari Thailand.

"Sekarang harga satu bakul atau kira-kira 10 kilogram pelbagai sayuran dari Cameron Highlands mencecah sehingga RM90, walhal stok sama dari Thailand hanyalah kira-kira RM50... disebabkan itulah saya terpaksa memilih stok sayuran dari Thailand kerana agak murah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perlis, Norazah Jaapar berkata, pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri tahun ini, penguatkuasaan terus dipertingkat menerusi Ops Pantau.

"Hasil pemeriksaan mendapati bekalan keperluan asas barang basah iaitu ikan, ayam dan daging masih mencukupi di pasaran, manakala sayuran dan barang kering mudah diperolehi oleh pengguna.

"Bagaimanapun, terdapat peningkatan harga bagi ayam segar (standard) iaitu dari RM 7.70 sekilogram kepada RM 8.50 (kenaikan 6.25 peratus).

"Bagi sayur sawi terdapat kenaikan sebanyak RM1 daripada RM6 harga jualan standard mencecah kepada RM7 sekilogram (kenaikan 16.66 peratus)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, sotong mencatatkan kenaikan harga sehingga 40 peratus di mana harganya adalah RM35 sekilogram berbanding harga jualan standard sebelum ini iaitu RM25 sekilogram.

"Kita mendapati kenaikan harga disebabkan berlakunya permintaan tinggi terhadap sayur sawi dan sotong dan terdapat kekurangan bekalan dari pengedar dan pembekal.

"Peningkatan harga bagi ayam segar standard disebabkan harga yang diperoleh oleh peruncit dari pembekal ayam segar agak tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:28 AM