FARIDAH (tiga dari kanan) memperagakan pakaian ketika menyertai aktiviti amal.
FARIDAH (tiga dari kanan) memperagakan pakaian ketika menyertai aktiviti amal.
FARIDAH (tengah) ketika dijemput stesen TV mengenai kesedaran kanser servik.
FARIDAH (tengah) ketika dijemput stesen TV mengenai kesedaran kanser servik.
HM Digital

Dunia Faridah Muhamad terasa seakan-akan gelap, dirinya kehilangan punca saat dikesan menghidap kanser serviks. Hanya simptom atau tanda yang dianggap biasa buat wanita seperti senggugut ketika datang bulan dan sakit belakang, dia mengetahui mengenai kanser itu selepas menjalani pemeriksaan untuk penyakit lain.

Pengalaman lebih 10 tahun lalu itu masih segar dalam ingatan Faridah Muhamad, 54, malah jika diimbas kembali dia sikit pun tidak menyangka masih mampu tersenyum bahagia bersama suami tercinta, Mohd Rous Mohd Din, 56, dan dua anaknya.

Saat ditanya, adakah dia sedih dengan apa yang menimpanya, wanita ini tersenyum mengimbas detik kali pertama mendengar khabar duka doktor mengesahkan kanser yang dihidapi.

“Masa itu saya memang tidak dapat terima hakikat dan tertanya-tanya kenapa saya yang dipilih untuk menerima ujian ini. Saya menangis semahu-mahunya, suami menenangkan dan dialah yang banyak beri sokongan.

“Kata-kata perangsang dan dorongan suami menguatkan semangat saya untuk berjuang dan sentiasa mengingatkan diri, ini adalah ujian dan dugaan Allah untuk insan yang mampu menghadapinya.

“Alhamdulillah, saya berjaya melaluinya dengan tabah dan bersyukur kepada Allah untuk sembuh demi insan yang saya sayangi,” katanya yang ditemui di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UJIAN BERMULA

Mengimbas kembali detik hitam dalam hidupnya, Faridah berkata, simptom dialami pada 2002 iaitu senggugut, sakit belakang dan sedikit pendarahan di vagina hanya diabaikan kerana dianggap perkara biasa bagi wanita.

Bagaimanapun, selepas tidak tahan menanggung kesakitan yang semakin buruk, dia mendapatkan pemeriksaan di hospital dan ketika itu apendiksnya hampir pecah manakala ovari bernanah.

“Ketika itu usia saya baru menginjak 38 tahun tapi sebelah ovari terpaksa dibuang dalam satu pembedahan. Saya bernasib baik kerana diberitahu doktor saya masih boleh hamil dan kami cuba dapatkan anak namun dalam tempoh itu, saya mengalami keguguran sebanyak dua kali.

“Dua tahun berikutnya saya mula mengalami kesakitan yang sama seperti dulu namun kali ini lebih teruk iaitu diikuti sembelit. Saya cuba juga rawatan alternatif seperti disarankan sesetengah orang tapi kesakitan dialami tidak beransur kurang hingga saya tidak tahan menanggungnya lagi.

“Saya boleh dikatakan patuh dengan saranan untuk melakukan pemeriksaan lumuran pap setiap dua tahun selepas melahirkan anak kedua pada 1991.

“Bagaimanapun, ketika itu pemeriksaan lumuran pap tidak berjaya mengesan kanser yang sudah menghuni kawasan serviks mungkin kerana agak terselindung sikit.

“Oleh sebab itu ketika saya dikesan menghidap kanser (2004), sel sudahpun berukuran 5 sentimeter (sm) dan menolak dinding rektum (saluran usus besar) hingga menyukarkan pembuangan air besar.

“Saya berjumpa pakar untuk menjalani ujian biopsi dan lumuran pap sebelum dikesan menghidap kanser tahap ketiga,” katanya.

Sejak itu katanya, episod rawatan bermula dengan kemoterapi dan dia mengakui kali pertama melaluinya, dirinya begitu lemah dan sering loya.

Selepas enam pusingan kemoterapi, sel kanser Faridah mengecut sehingga 1sm daripada 5sm. Bagaimanapun, untuk mengelakkan kanser merebak, dia perlu menjalani pembedahan histerektomi iaitu sebahagian besar organ reproduksi wanitanya terpaksa dibuang.

Tidak cukup dengan itu, dia perlu menjalani 25 radioterapi dan selepas itu pakar onkologi me­nyarankannya menjalani terapi brachy (radioterapi dalaman) selama dua tahun hingga 2006.

“Saya ingatkan semuanya sudah ok selepas pemeriksaan setiap tiga bulan selama setahun menunjukkan keputusan negatif, kemudian enam bulan sekali, saya diminta pula melakukan imbasan CT, doktor kesan sesuatu yang tidak kena di bahagian hati.

“Rawatan diperlukan ketika itu ialah radio frekuensi ablasi iaitu memerlukan alatan seperti jarum dimasukkan ke hati dari luar selepas disahkan mengalami kanser hati metastatik.

“Tidak dapat dibayangkan bagaimana saya hadapi semua itu, tapi jujur saya katakan apabila melihat suami dan anak di sisi, saya terus kuat untuk mengharungi apa jua rawatan walaupun ia begitu menyakitkan.

“Disebabkan masalah itu saya memerlukan udara segar untuk kekal sihat dan suami sering bawa ke kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands. Ia sangat membantu pemulihan selain ubat-ubatan dan rawatan.

“Pada ketika itu, udara di sana masih segar tanpa pencemaran. Sayangnya kini kawasan itu udaranya tidak lagi seperti dulu mungkin akibat pembangunan,” katanya.

AKTIF SEBAR MESEJ

Menurutnya, pada 2008 dia mengenali pertubuhan yang memberi sokongan kepada pesakit kanser iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan bergiat aktif dalam aktiviti dianjurkan persatuan itu.

Jelasnya, sejak itu dia sering ke depan untuk membawa mesej kepada semua wanita agar tidak takut untuk mendapatkan pengesanan awal kanser.

Selama 10 tahun dirinya bergiat aktif dalam persatuan dan turut dilantik menjadi Naib Pengerusi Pink Unity iaitu kumpulan sokongan pesakit kanser terselamat wanita NCSM.

Di atas pembabitan aktifnya itu, NCSM turut menghantar Faridah menghadiri Kongres Kanser Dunia di Melbourne, Australia pada 2014.

Faridah juga terbabit aktif dalam kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk pelbagai program antaranya kutipan dana untuk pesakit kanser.

“Selagi hayat dikandung badan, selagi itu saya tidak akan berhenti membantu menyebarkan mesej mengenai kanser. Apatah lagi jiwa ini begitu dekat dengan kerja kebajikan memandangkan sebelum ini saya pernah berkerja di Yayasan Kiwanis Sindrom Down,” katanya.

Dia dan suaminya yang juga penggemar barang antik banyak menghabiskan waktu berkongsi hobi sama bagi memenuhi masa lapang selain memancing bersama keluarganya.

Faridah mengakui sokongan kuat suami, keluarga, rakan dan orang terdekat amat membantu penyembuhan serta menenangkan emosinya. Mereka sebenarnya memainkan peranan bagi mengekalkan sikap positif pesakit untuk melawan penyakit.

Tambahan pula apabila membabitkan penyakit berkaitan wanita seperti ovari dan payudara, kebanyakan wanita berasa begitu tertekan melihat keadaan diri yang dianggap sudah tidak sempurna kerana organ berkaitan terpaksa dibuang.

“Saya sendiri mengalaminya apabila pada usia yang masih boleh melahirkan anak, saya perlu berdepan hakikat terpaksa hidup tanpa sebahagian besar organ pembiakan.

“Saya bersyukur suami tidak jemu memberi semangat, menyokong dan setia di sisi ketika bertarung dengan kanser sehinggalah saya sembuh,” katanya.

Sebagai suami yang berpengalaman menjaga isteri yang menghidap kanser, Mohd Rous akui hati isterinya mudah tersentuh dan sensitif kerana merasakan diri tidak lagi sempurna selain sering merasakan anak mereka terabai kerana penyakit itu.

“Ketika itu isteri tidak berupaya untuk menjaga anak yang ketika itu masih di bangku sekolah dan saya dengan rela hati menyediakan keperluan mereka sepanjang dia mendapatkan rawatan kerana menjadi tanggungjawab saya menggalas tugas itu.

“Melalui sokongan tidak berbelah bahagi ini juga, sedikit sebanyak dapat membantu menstabilkan emosi isteri dan perasaan rendah diri yang menyelubunginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:17 PM