MUHAMMAD Zaqkhwan bersama anak-anaknya ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Besi. FOTO ROHANIS SHUKRI
MUHAMMAD Zaqkhwan bersama anak-anaknya ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Besi. FOTO ROHANIS SHUKRI
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Hatinya bagai dirobek-robek apabila lima anak yang juga penghidap autisme, Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) serta disleksia dianggap gila kerana hidup dalam dunia sendiri, tidak berkomunikasi dan berkawan.

Duka itu dirasai Muhammad Zaqkhwan Zawawi, 38, biarpun empat daripada lima anak itu bukan zuriat kandungnya namun dia tidak pernah sesekali menganggap mereka 'orang luar' dalam hidupnya.

Muhammad Zaqkhwan memilih ibu tunggal lima anak yang kematian suami, Afifah Azizan, 38, sebagai isteri sejak lapan tahun lalu dan kini mereka dikurniakan dua anak, sekali gus menjadikan anak pasangan itu tujuh orang.

Tujuh anak mereka, Aida Amanina Mohd Abdullah Budin, 19, Amirul Haziq, 17, penghidap autisme dan disleksia, Arif Syarafuddin, 15, (autisme Asperger sindrom), Aida Afrina, 13, (autisme dan disleksia) dan Ahmad Danish, 11, (ADHD).

Dua lagi, Ayra Elise Zara Muhammad Zaqkhwan, 7, (bekas pesakit tetralogy of fallot (TOF) iaitu penyakit jantung konginetal sianotik) dan Adam Tuah Zaqkhary, 3, (autisme).

Muhammad Zaqkhwan yang berkerja sendiri berkata, sebelum mengahwini Afifah, dia sudah mengetahui empat anak wanita itu insan 'istimewa'.

Bagaimanapun katanya, dia tidak kisah, malah menganggap tanggungjawabnya mendidik mereka supaya tidak terasing dengan dunia luar serta menjalani kehidupan normal.

"Saya tak pernah anggap lima anak adalah anak tiri, sebaliknya mereka tetap anak saya walaupun tidak dari keturunan sendiri, malah layanan juga sama rata dengan dua anak lain.

"Pada saya tiada istilah anak tiri dan itu sangat sensitif. Apabila ada mengatakan anak kami gila, memang itu melukakan hati saya kerana mereka tidak gila...mereka hanya autisme," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tasik Damai, Sungai Besi di sini.

AIDA Amanina membantu adiknya Aida Afrina (autisme dan dileksia) membuat kerja sekolah di kediaman mereka di Taman Tasik Damai,  Sungai Besi. FOTO ROHANIS SHUKRI
AIDA Amanina membantu adiknya Aida Afrina (autisme dan dileksia) membuat kerja sekolah di kediaman mereka di Taman Tasik Damai, Sungai Besi. FOTO ROHANIS SHUKRI

Katanya, semua anak istimewanya tidak dianggap beban atau masalah, tetapi anugerah buat dia dan isteri.

"Apabila bersama mereka, saya berasa kehidupan ada makna berbanding sebelum ini nothing walaupun kehidupan sudah berada di tahap baik.

"Bekerja sendiri ada turun dan naik, malah poket pernah kosong, tetapi rezeki itu tidak pernah putus untuk anak kami, malah sokongan kedua-dua keluarga kami juga menguatkan semangat saya," katanya turut memberitahu anak bongsunya masih tantrum.

Bercerita lanjut, katanya, setiap anak mereka yang menghidap autisme mempunyai tahap dan cerita sendiri seperti tantrum, hanyut dalam dunia sendiri, beban deria (sensory overload), tidak pandai uruskan diri dan kurang berkomunikasi.

"Saya masih ingat ketika saya mula hadir dalam kehidupan mereka, mereka berada dalam dunia sendiri, ada yang tidak boleh mengurus diri dan lambat membaca serta bercakap yang mana mereka bercakap pada usia empat tahun ke atas.

"Orang selalu cakap autisme tiada ubat, tetapi saya tidak mahu berfikiran begitu dan mahu mereka berubah menjalani kehidupan biasa, tetapi saya lihat pada situasi serta tahap autisme mereka dan paling penting jangan berputus asa.

"Apabila sampai umur untuk ajar mereka disiplin, kami akan terapkan nilai itu supaya dia dapat kehidupan normal, malah sebelum ini kami tidak benarkan mereka gunakan gajet selama dua tahun," katanya yang menghasilkan produk cecair penghapus serangga dan membangunkan laman web untuk pelanggannya.

Katanya, biarpun ada kekangan kewangan dan tidak mampu menghantar lima anak menjalani terapi berbayar, tetapi anak dapat mengurus diri dan berkomunikasi dengan baik dengan bantuan doktor dan usaha terapi sendiri.

"Kami ambil inisiatif buat terapi sendiri mengikut kesesuaian anak. Bukan setahun dua untuk usaha itu, malah sehingga kini masih dalam proses dan kini mereka sudah nampak banyak perubahan berbanding dulu.

"Di sebalik kekurangan, lima anaknya ada kelebihan dalam minat masing-masing dan itu yang dicungkil untuk potensi kelebihan yang boleh menjadi sumber pendapatan mereka suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Afifah berkata, dia terharu dengan pengorbanan dan usaha suaminya yang sanggup menjaga serta menerima semua anaknya.

Katanya, melihat semua anak istimewanya mampu berasimilasi dengan dunia luar, menguruskan diri dan berkomunikasi dengan baik amat melegakannya.

"Jujurnya saya memang tak kuat mental dan emosi menjaga anak seorang diri tetapi suami banyak membantu," katanya.

NORANIZA memberi ubat kepada Ahmad Zikri Hakim ketika ditemui di rumahnya di Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI
NORANIZA memberi ubat kepada Ahmad Zikri Hakim ketika ditemui di rumahnya di Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI

Hati hiba 3 anak OKU hanya jamah bubur nasi kosong

Kuala Lumpur: "Pilu hati apabila melihat wajah tiga anak makan bubur nasi kosong bersama garam tanpa merungut kerana mereka sangat memahami situasi keluarga serba kekurangan," kata bekas pesakit kanser pangkal rahim, Noraniza Abdul Wahab.

Kehidupan Noraniza, 35, yang dihimpit kesukaran boleh diibaratkan jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja ditinggalkan suami sejak tiga tahun lalu, malah perlu menjaga tiga anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) seorang diri.

Lebih malang, Noraniza yang menyewa di sebuah flat di Wangsa Maju, di sini, tidak dapat bekerja kerana terpaksa mengurus tiga anak selepas mereka ditinggalkan suami tanpa khabar berita.

Tiga anaknya iaitu Nur Ainul Mardhiah Zulkarnain, 13, adalah OKU intelektual, Ahmad Zikri Hakim, 9, (OKU fizikal) selain mengalami masalah jantung berlubang, lelah serta usus tersumbat dan Nur Anis Shahmina Zulkarnain, 7, pula autisme.

Berkongsi kisahnya, Noraniza berkata, mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur dari kampung halamannya di Dungun, Terengganu kerana mengikut suami bekerja di ibu negara pada 2019.

Menurutnya, sebelum itu dia disahkan menghidap kanser pangkal rahim tahap satu pada 2018 dan kemudiannya sembuh pada Disember 2021, namun masih perlu membuat pemeriksaan setiap tahun.

"Sebelum ini saya pernah berkerja sebagai pengawal keselamatan tetapi diberhentikan kerana terlalu kerap mengambil cuti membawa tiga anak ke hospital untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, kehidupan mereka kini bergantung bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,300 sebulan selain turut menerima tempahan kuih, nasi lemak serta nasi berlauk secara sambilan.

"Bantuan itu digunakan untuk membayar sewa rumah RM750 sebulan dan selebihnya untuk membeli susu khas untuk dua anak berjumlah RM2,000. Setiap bulan saya memerlukan kira-kira lebih RM3,000 untuk kelangsungan hidup kami.

"Saya perlu membawa tiga anak ke hospital untuk pemeriksaan sebanyak tujuh kali sebulan dan itu belum termasuk kes kecemasan seperti demam, sawan atau penat dengan terpaksa menggunakan khidmat e-hailing kerana kami tiada kenderaan," katanya.

Katanya, dia rasa amat bersyukur anaknya tidak pernah meminta menikmati makanan yang sedap walaupun ada kalanya mereka terpaksa berlapar selama tiga hari kerana kekangan kewangan.

"Kami pernah terputus bekalan makanan dan anak juga pernah makan bubur nasi kosong dengan garam untuk menggalas perut, malah saya pernah menjual periuk dan kuali untuk membeli makanan.

"Nasi putih berlauk telur bersama kicap saja sudah membuat anak-anak rasa bersyukur dan gembira kerana lauk ayam memang jarang 'naik' (dijamah) di rumah kami.

"Saya memang berusaha sebaik mungkin untuk menyara anak, tetapi apabila keadaan mendesak seperti anak perlu ke hospital atau tidak sihat menyebabkan saya terpaksa menolak tempahan makanan pelanggan.

"Sebulan saya boleh dapat antara RM200 hingga RM500 tetapi pendapatan tidak tentu dan pernah tiada tempahan seperti bulan lalu," katanya.

Menurutnya, dia pernah terfikir untuk kembali ke kampung halaman, namun memilih terus tinggal di ibu kota kerana memikirkan urusan perubatan anak.

Katanya, pada masa sama dia amat berharap dapat menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengurangkan beban.

"Saya pernah mohon rumah PPR, tiga tahun lalu tetapi tiada jawapan. Jika dapat tinggal di situ boleh kurangkan beban bulanan kami dan berharap dapat rumah yang dekat dengan Hospital Tuanku Azizah supaya mudah ke hospital," katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 13044021060457 atas nama Noraniza Abdul Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 7:01 AM