Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ramai pemimpin UMNO yang sebelum ini dilabel sebagai pengkhianat dan didakwa mensabotaj parti itu akan dipecat dan digantung keahlian.

Perkara itu disahkan oleh Tan Sri Noh Omar namun tidak memperincikan jumlah dan siapa pemimpin berkenaan.

"Ada ramai lagi yang akan dipecat dan digantung (keahlian). Nanti tunggu mereka turun.

"Betul akan buat pemutihan, akan ada perpaduan. Yang selamat siapa? Presiden.

"Hi hi bye UMNO. Kasihan UMNO. Itulah UMNO hari ni dan kita tak hairan. Rakyat pun dah tolak," katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini, selepas keahliannya digantung selama enam tahun.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Kenyataan itu secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang lalu melalui usul tambahan diluluskan supaya tidak ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

KNOH Omar mengadakan sidang media selepas keahlian beliau digantung. FOTO Aizuddin Saad
KNOH Omar mengadakan sidang media selepas keahlian beliau digantung. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 11:09 PM