KHAIRY Jamaluddin (kiri) dan Noh Omar. FOTO NSTP
KHAIRY Jamaluddin (kiri) dan Noh Omar. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.

"Selain itu, lima lagi ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang turut dipecat.

"Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terbabit membantu parti lawan ketika PRU-15.

"Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Noh digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Noh berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi ucapan mukadimah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 12:30 AM