TAJUDDIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
TAJUDDIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang kini digantung keahlian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa wujud usul daripada pemimpin Umno Bahagian Pasir Salak supaya pucuk pimpinan tertinggi parti itu tidak melayan rayuan pengembalian semula keahliannya.

Beliau berkata, perkara itu diusulkan sendiri oleh Ketua Umno Bahagian, Khairul Azwan Harun kepada Jawatankuasa Bahagian tiga minggu lalu, namun mendapat bantahan daripada sebahagian kecil ahli jawatankuasa.

"Azwan sudah bawa ke Jawatankuasa Umno Bahagian untuk membuat satu desakan kepada pucuk pimpinan parti supaya permohonan saya dilepaskan daripada penggantungan tak dilayan, maknanya mereka tak setuju (keahlian dikembalikan).

"Kedua, mereka nak saya dipecat terus daripada Umno, saya dianggap umpama dah tak ada guna pada Umno, menimbulkan masalah pada Umno. Kononnya saya masih lagi menentang Presiden, cucuklah.

"Saya tak tahu sama ada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan pucuk pimpinan dengar cakap mereka atau tak, tapi yang pasti mereka (Umno Bahagian) buat dulu," katanya ketika ditemui pada program Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di perkarangan kediamannya di sini, malam tadi.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, mendakwa Khairul Azwan bertindak sedemikian bagi menyingkirkan kerana terdapat ura-ura rayuannya bakal diluluskan.

"Tujuannya untuk buang saya daripada Umno. Ini bukan cerita rekaan, ini betul-betul. Boleh tanya Azwan sendiri, ada saksi jawatankuasa bahagian bercakap tak setuju.

"Azwan tak tahu walaupun saya digantung enam tahun, jarang orang gantung sampai full-term.

"Kemungkinan rayuan saya (tarik semula penggantungan keahlian) berjaya, sebab itu dia cepat-cepat buat usul supaya saya dipecat. Apa tak gentleman," katanya.

Sementara itu, Khairul Azwan atau lebih dikenali Azwan Bro ketika dihubungi pagi ini enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan usul berkenaan.

"No comment (tiada komen)," katanya ringkas.

Pada 21 Julai lalu, media melaporkan Tajuddin sudah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tidak dibalas dan tidak berhasrat untuk merayu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:10 PM