MOHD Yusof. FOTO arkib NSTP
MOHD Yusof. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin Umno seperti diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan memberi kesan buruk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ini berikutan individu yang bernilai di dalam Umno sudah ditolak keluar tanpa alasan yang kukuh.

"Dalam PRN nanti, kita sudah nampak Perikatan Nasional (PN) akan menguasai tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak mustahil dengan keadaan Umno sekarang, Negeri Sembilan dan Selangor juga akan jatuh kepada PN.

"Apa yang saya nampak, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersifat kuku besi, sebab orang yang bernilai dalam Umno dikeluarkan demi untuk selamatkan peribadi beliau.

"Umno sekarang dalam keadaan amat tenat, sepatutnya perkara ini dibincangkan supaya jadi elok sebab kita nampak Khairy Jamaludin dan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan mempunyai aura tersendiri untuk menarik pengundi muda.

"Keputusan ini amat menyedihkan, kita tak tahu apa yang Presiden Umno nak sebenarnya. Saya sebagai orang yang digantung sebelum ini pun lihat sistem menggantungkan keahlian seseorang itu amat zalim," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada September tahun lalu, Mohd Yusof dilaporkan mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak Lembaga Disiplin Umno membuat keputusan menangguhkan hukuman penggantungan keahlian parti selama enam tahun ke atas dirinya selepas seminggu kemudian.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, setiap salah laku ahli Umno perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin dan perlu ada pengadu sebelum lembaga berkenaan bersidang.

"Contohnya bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, beliau sepatutnya dipanggil Lembaga Disiplin pada Isnin ini tapi semalam beliau dipecat, ini tidak adil untuk beliau.

"Selain itu, apa kesalahan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehingga beliau digantung keahlian selama enam tahun, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang merosakkan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 4:01 PM