GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Penggunaan telur per kapita dianggarkan berjumlah 968 juta biji sebulan dan masalah kekurangan bekalan berkenaan berpunca daripada kenaikan harga bijirin hampir 100 peratus.

Pakar ekonomi pertanian, Prof Datuk Dr Nasir Shamsudin berkata, kadar sara diri telur pada 2021 adalah 114.4 peratus dan ini bermakna, negara mengeluarkan telur 14.4 peratus lebih daripada penggunaan negara.

"Daripada jumlah itu, wujud kemungkinan bahawa negara mengeksport 14.4 peratus daripada jumlah pengeluaran negara.

"Masalah kekurangan bekalan telur hanya berlaku pada tahun lalu iaitu negara mengimport hampir 100 peratus jagung bijirin dan kacang soya.

"Harga jagung melambung daripada RM800 satu tan kepada RM1900 satu tan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kenaikan harga jagung bijirin dunia disebabkan kadar pertukaran wang negara yang menurun dan berlaku peperangan di antara Rusia dan Ukraine.

Menurutnya, walaupun harga sudah menurun untuk bekalan jagung dan kacang soya, tetapi ia masih tinggi jika dibandingkan pada 2021.

"Kerajaan membenarkan import telur bagi menyelesaikan kekurangan bekalan dalam pasaran dan ini jalan penyelesaian sementara dan bukan penyelesaian kepada masalah sebenar di negara ini.

"Penyelesaian jangka panjang adalah dengan mencari inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada import bahan makanan ternakan ayam.

"Inisiatif ini adalah menanam sendiri jagung dalam anggaran 30 peratus daripada jumlah keperluan, palm kernal cake sebagai makanan ayam dan alternatif lain seperti bahan buangan pertanian," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu memantau struktur pasaran telur yang buat masa ini, nisbah kepekatan empat syarikat terbesar mempunyai pegangan pasaran melebihi 60 peratus.

Sebelum itu, berdasarkan perangkaan ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kadar pengeluaran telur ayam negara pada 2021 adalah hampir 14 bilion biji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:30 AM