GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kenaikan harga makanan ayam dan penurunan ketara harga telur di pasaran ketika pandemik Covid-19 sekarang adalah antara punca penurunan margin keuntungan pengeluar telur di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata berdasarkan harga telur di pasaran (berasaskan harga telur Gred C), penurunan harga yang ketara sebanyak 38 peratus kepada RM0.21 sebiji pada November berbanding RM0.34 sebiji pada April lalu.

"Kos pengeluaran meningkat ekoran kenaikan harga makanan ayam sebanyak empat hingga lima peratus. Kos makanan ini adalah penyumbang kepada 70 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran," katanya dalam jawapan bertulis pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu tahap kesan penularan Covid-19 kepada sektor penternakan ayam telur yang didakwa menyebabkan pengeluar telur mengalami kerugian jutaan ringgit berikutan kenaikan harga makanan ternakan.

Kiandee berkata kenaikan harga makanan ayam tahun ini dipengaruhi oleh kenaikan harga bahan asas utama makanan ternakan ayam seperti jagung yang meningkat 15.2 peratus kepada RM1,100 satu tan pada November berbanding RM955 pada April sementara harga kacang soya pula meningkat 9.4 peratus kepada RM2,100 satu tan pada November berbanding RM1,920 pada April.

Beliau berkata harga bahan asas makanan haiwan ini ditentukan oleh harga pasaran komoditi dunia dan kementerian sedang berbincang dengan pihak pengilang dan persatuan pengilang makanan ternakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai masalah berbangkit sebagai langkah intervensi jangka pendek situasi itu.

"Pada masa sama, bagi memastikan bekalan makanan terutamanya bekalan telur domestik mencukupi dan terjamin, kementerian sentiasa memantau bekalan makanan secara harian sejak pelaksanaan PKP hingga sekarang di samping memastikan kebajikan penternak domestik sentiasa diambil kira.

"Maklumat dalam negara yang diperoleh daripada agensi kerajaan, pemain industri dan usahawan tani sentiasa dipantau dan dianalisis secara berkala," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 1:50 PM