Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Tiga sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi dua pertuduhan dadah.

Tertuduh S Avinash Anantha, 33, bersama isteri, K Elengkeswary, 34 dan adik lelaki berkenaan, S Rajiv Anantha, 28, didakwa memiliki dan mengedar dadah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 12.30 pagi 10 Januari 2023, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya kanabis anggaran berat 23,810 gram di rumah di Taman Sri Pulai Perdana, Johor Bahru.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980).

Manakala bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa pada 12.30 pagi, 10 Januari lalu memiliki 171 gram ketamine di Taman Sri Pulai Perdana, Johor Bahru bukan sebagai seorang yang diberi kuasa atau disifatkan sebagai seorang yang diberi kuasa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua tertuduh mengangguk faham apabila tuduhan dibacakan di hadapan Majistret dalam Bahasa Melayu, namun tiada pengakuan direkodkan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Shakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datin Freda Josephine Gonzales.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh dan Majistret R Salini menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

TERTUDUH di  Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 1:05 PM