Aizat Sharif


Arau: Pemuliharaan terhadap Pekan Lama Arau akan terus dilaksanakan bagi memastikan legasi pekan yang menjadi simbolik kepada kewujudan aktiviti ekonomi di daerah itu terus kekal bertahan dalam arus pembangunan masa kini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha ke arah mengembalikan kembali pesona Pekan Lama Arau sudah pun dimulakan sejak tahun lalu menerusi Projek DiRaja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau.

"Projek ini akan menjadi sama seperti inisiatif yang dilakukan terhadap 470 rumah di Kampung Seberang Ramai yang kini dikenali sebagai Kampung Warna Warni di Kuala Perlis di mana kawasan ini akan dipulihara dan dicantikkan bagi menarik pelancong untuk tiba di pekan lama ini.

"Apa yang harus ditambah baik di sini (Pekan Lama Arau) adalah faktor kebersihan di mana beta percaya bahawa dengan sokongan peniaga di pekan ini, masalah sampah serta trafik dan sebagainya dapat diatasi secara bersama," titahnya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pekan Lama Arau dan Festival Tahun Baru Cina di Pekan Lama Arau, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya percaya bahawa dalam tempoh dua tahun menerusi projek itu, Pekan Lama Arau dapat 'dihidupkan' semula untuk menjadi tarikan pelancong untuk datang ke pekan itu berdasarkan warisan dan sejarah yang terdapat pada pekan lama berkenaan.

"Dalam tempoh dua tahun ini, ia (Pekan Lama Arau) boleh menjadi tarikan kepada pelancong yang datang ke Perlis dan segala legasi warisan dan sejarah di sini dapat dihidupkan bersama sehingga berjaya.

"Usaha ini sama seperti di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis (Projek Kampung Warna-Warni) dan beta percaya di sini juga boleh berjaya. Cuma apa pun diharapkan dengan kehadiran pelancong di sini, peniaga dapat turut serta menjayakan projek ini.

"Diharapkan usaha ini tidak terhenti di sini kerana ia pertama kali dilaksanakan dan ke hadapan nanti diharapkan kita semua dapat membincangkan semula apa yang boleh ditambah baik di Pekan Lama Arau ini," titahnya lagi.

Untuk rekod, Pekan Lama Arau mempunyai 74 premis kedai yang terdiri daripada pejabat pos, kedai runcit, restoran, kedai perabot, bengkel membaiki motosikal dan kedai aksesori kereta.

Pekan Lama Arau juga adalah perintis kepada aktiviti ekonomi dan sosial utama yang berlangsung di daerah Arau lebih 70 tahun lalu di mana kebanyakan premisnya masih lagi kukuh dengan bangunan papan.

Terdahulu, baginda berkenan melancarkan Pekan Lama Arau dan Festival Tahun Baru Cina di pekan itu.

Malah, baginda turut sama meninjau bangunan bersejarah dan lama yang terdapat di pekan itu dan melihat demonstrasi kaligrafi Cina yang dipersembahkan oleh salah seorang wakil penggiat kaligrafi Cina Perlis.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Hadir bersama adalah Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) Norazlan Yahaya, wakil dari Dewan Perniagaan Cina Perlis dan wakil komuniti Cina Arau.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika meninjau sekitar Pekan Lama Arau selepas merasmikan Festival Tahun Baru Cina di Pekan Lama Arau. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika meninjau sekitar Pekan Lama Arau selepas merasmikan Festival Tahun Baru Cina di Pekan Lama Arau. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 12:38 PM