GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Arau: Perkembangan teknologi melalui medium media sosial boleh dimanfaatkan untuk mengeratkan perpaduan kaum di negara ini, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof.

Beliau berkata, platform itu mampu mengekalkan ikatan silaturahim walaupun berada saling berjauhan apabila masih dapat berinteraksi antara satu sama lain sekali gus berpotensi mengukuhkan lagi hubungan pelbagai kaum di negara ini.

"Kementerian Perpaduan sentiasa menggalakkan masyarakat berusaha untuk memupuk perpaduan antara berbilang kaum di Malaysia supaya kita aman dan bersatu padu... jadi kita perlukan teknologi untuk mengeratkan perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Tahun Baharu Cina Pekan Lama Arau 2024 di sini, malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina yang bermula semalam sehingga esok itu.

Turut berangkat ke karnival itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, Azman berkata penganjuran program kebudayaan seperti karnival itu boleh menerapkan nilai keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan pelbagai kaum apabila rakyat mendapat pendedahan terhadap budaya sesuatu kaum di negara ini melalui program sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 2:08 PM