Aizat Sharif

Padang Besar: Khazanah unik flora dan fauna di kawasan Wang Kelian harus terus dipelihara bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dan menyeru masyarakat memelihara flora dan fauna di kawasan itu kerana mempunyai pelbagai nilainya tersendiri.

"Aspek kebersihan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi mengelakkan kawasan itu tercemar akibat daripada tindakan pembuangan sampah.

"Malah, dalam masa sama, berilah perangsang atau semangat kepada masyarakat setempat untuk lebih bergiat aktif dalam melaksanakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar di kawasan itu.

"Selain itu juga, masyarakat setempat perlu diberi penerangan dan bimbingan bagi memastikan segala inisiaitif yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini tidak hanya sekadar 'one-off' dan kemudiannya ditinggalkan," titahnya.

Baginda bertitah selepas melancarkan buku dan majlis pra-tonton dokumetari Wang Kelian: The Forgotten Valley/Lembah Yang Kian Hilang di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika  merasmikan buku Wang Kelian: The Forgotten Valley/Lembah Yang Kian Hilang di sebuah hotel di Kuala Perlis, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika merasmikan buku Wang Kelian: The Forgotten Valley/Lembah Yang Kian Hilang di sebuah hotel di Kuala Perlis, Kangar. FOTO AIZAT SHARIF

Titahnya lagi, pelaksanaan projek berkenaan mampu membawa kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam menghargai kepelbagaian biologi dan alam semula jadi di Wang Kelian yang juga tunjang kepada rizab Taman Negeri Perlis.

"Projek itu juga dapat menzahirkan keindahan alam semula jadi dan keistimewaan warisan sejarah tempatan Wang Kelian menerusi penerbitan buku, pameran serta dokumentari.

"Eko pelancongan tidak hanya memberi manfaat kepada para pengunjung, tetapi turut memberi kesan positif terhadap komuniti setempat.

"Melalui ekopelancongan juga, masyarakat setempat boleh menjana pendapatan melalui kegiatan ekonomi sebagai contoh menjadi pemandu pelancong, menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan warung, mendirikan inap desa dan sebagainya," titah baginda.

Terdahulu, baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan merasmikan buku Wang Kelian: The Forgotten Valley/Lembah Yang Kian Hilang dan bersama-sama menyaksikan dokumentari mengenai Wang Kelian yang berdurasi selama 30 minit itu.

Turut hadir adalah Presiden Roots & Shoots Malaysia, TP Lim, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed, pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW) yang juga aktivis alam semulajadi, Syamil Abd Rahman serta Ketua Projek Wang Kelian: The Forgotten Valley/Lembah Yang Kian Hilang, Peter Ong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:00 PM