CIAST  pusat latihan untuk mengasuh pengajar dari segi teknik mengajar atau pedagogi.
CIAST pusat latihan untuk mengasuh pengajar dari segi teknik mengajar atau pedagogi.
Suliati Asri


Shah Alam: Seiring dengan perkembangan terkini Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), negara tidak hanya perlu melahirkan pekerja berkemahiran tetapi juga tenaga pengajar bertaraf dunia yang berkemampuan dan kompeten.

Menyedari hakikat itu, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) terus komited dalam memperkasa tenaga pengajar bertaraf dunia dalam pelbagai bidang kemahiran.

Ia juga bersesuaian dengan misi CIAST iaitu membangunkan tenaga pengajar bertaraf dunia yang berpengetahuan, kompeten, berdisiplin dan responsif terhadap perubahan persekitaran dan teknologi.

Pengarahnya, Zuleah Darsong berkata, CIAST adalah pusat sehenti dalam membangunkan tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Menurutnya, CIAST juga adalah pusat latihan untuk melatih pengajar dari segi teknik mengajar atau pedagogi serta menyediakan kursus teknikal di peringkat diploma dan Diploma Lanjutan Kemahiran.

"CIAST mula operasi pada 1983 dengan bantuan kewangan daripada kerajaan Jepun di bawah Projek Pembangunan Sumber Manusia Asean. CIAST dikawal selia oleh pakar teknikal dan pengurusan dari Jepun melalui JICA sehingga 1991.

"Kemudiannya, ia beroperasi sepenuhnya di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia bermula pada 1991 sehingga Mei 2007 sebelum dipindahkan pengurusannya di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada Jun 2007.

"Bermula 10 November 2021, CIAST berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajar (CoE) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Pengiktirafan CIAST sebagai CoE membuktikan bahawa CIAST adalah organisasi peneraju tunggal dalam membangun dan memperkasakan tenaga pengajar bertaraf dunia dalam bidang kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)," katanya.

Zuleah berkata, penggunaan sistem TVET Instructor eProfiling System (TiPS) di CIAST menjadi antara faktor utama organisasi itu diiktiraf sebagai CoE.

Mengulas lanjut Zuleah berkata, TiPS adalah sistem yang boleh mengenal pasti jurang kompetensi tenaga pengajar TVET dengan kaedah yang sistematik.

Menurutnya, ia juga menekankan konsep Right Trainer, Right Training, Right Time yang sangat penting untuk memastikan program Upskilling, Re-skilling dan Persijilan Profesional yang dirancang dan dilaksanakan oleh CIAST dapat memberi impak terhadap pembangunan kompetensi tenaga pengajar TVET.

CIAST adalah organisasi peneraju tunggal dalam membangun dan memperkasa tenaga pengajar bertaraf dunia.
CIAST adalah organisasi peneraju tunggal dalam membangun dan memperkasa tenaga pengajar bertaraf dunia.

"Bukan itu saja, CIAST juga mendapat pengiktirafan dan mandat dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk melaksanakan Latihan Metodologi bagi skim Pegawai Latihan Vokasional (PLV) bagi Penolong Pegawai Latihan Vokasional/Pembantu Pegawai Latihan Vokasional (PPLV), untuk tujuan pengesahan dalam perjawatan sektor awam.

"CIAST turut bertanggungjawab melatih personel industri dan latihan institusi bagi pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) selain menjadi pemantau dan penilai latihan aktiviti TVET di negara-negara Asean," katanya.

Di CIAST, antara program utama yang dijalankan adalah kursus Diploma Lanjutan Pengajar Vokasional (DLPV) – Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dengan Diploma Pengurusan TVET (TVET I), Diploma Pengajar Vokasional (DPV) – Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dengan TVET I dan Diploma Pengajaran TVET (TVET I) yang menggunakan NOSS Pengajaran TVET P853-002-4:2021.

Zuleah berkata, bagi mereka yang belum bekerja atau graduan institut latihan kemahiran, mereka akan dilatih dan mempersiapkan mereka sebagai tenaga pengajar.

"Menariknya mengenai program ini, graduan CIAST yang menamatkan pengajian bukan sahaja akan menerima satu diploma tetapi dianugerahkan dua diploma iaitu Diploma Pengajaran TVET (TVET I) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) mengikut bidang masing-masing," katanya.

Disamping itu, menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), CIAST juga melaksanakan program Master Trainer iaitu sebahagian daripada Training Roadmap yang dirancang bagi membangunkan kumpulan pakar yang terdiri daripada kalangan pengajar dari pelbagai agensi TVET yang berkelayakan.

Zuleah berkata, Master Trainer itu berperanan sebagai pakar rujuk, pembangun modul latihan, pembimbing (coach), pengajar pakar, pelopor bidang baharu dan pakar negara.

"Projek Pembangunan Master Trainer (Skills) dalam bidang teknologi baharu muncul (new emerging technology) mensasarkan untuk melatih seramai 500 pengajar dan menghasilkan 50 Master Trainer dalam kalangan tenaga pengajar yang dilatih.

"Projek Pembangunan Master Trainer (Teaching Methodology) pula mensasarkan untuk melatih dan mengeluarkan sijil kepada 300 tenaga pengajar dengan kelayakan pengajar tertinggi dan menghasilkan 100 Master Trainer dalam Teaching Methadology.

"Ini akan menjadikan CIAST sebagai Pusat Rujukan Tunggal berfokus kepada bidang Pembelajaran dan Penyampaian dalam Latihan Metodologi secara fizikal dan digital," katanya.

Mengulas mengenai cabaran CIAST dalam konteks TVET secara global, Zuleah berkata, kerajaan mensasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi masa hadapan dan 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki aliran TVET.

Bagaimanapun, katanya, kini dengan hanya berbaki lapan tahun lagi, baharu 25 peratus sasaran itu yang dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 10:16 PM