Mangsa banjir di Taman Sri Nanding. FOTO ASWADI ALIAS
Mangsa banjir di Taman Sri Nanding. FOTO ASWADI ALIAS
Mahaizura Abd Malik


Hulu Langat: Bagi meringankan beban dialami mangsa banjir, sekumpulan tenaga pengajar Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) tampil menyumbang kepakaran membaik pulih peralatan elektrik yang terjejas.

Koordinator Kanan Program CIAST, TS Azaudin Adzmin berkata, pihaknya menyahut seruan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam usaha mengurangkan pelupusan barangan kelengkapan rumah terutama perkakas elektrik yang ditenggelami banjir.

"Kami menawarkan diri bekerjasama dengan SWCorp bagi membantu membaiki peralatan elektrik mangsa banjir di Taman Sri Nanding secara percuma kerana kami yakin dengan kemahiran dan kepakaran yang ada, kami boleh bantu meringankan sedikit beban mangsa kerana bukan semua barangan elektrik ditenggelami banjir akan rosak.

"Untuk misi ini, kami lebih memfokuskan kepada peti sejuk dan mesin basuh kerana perkakas itu paling mahal dan keperluan penting dalam rumah iaitu untuk menyimpan makanan dan mencuci pakaian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, pasukannya yang memulakan projek berkenaan semalam disertai tenaga pengajar dari pelbagai latar belakang kemahiran termasuk elektrikal, mekatronik serta kimpalan.

"Setiap hari, 10 ahli daripada pasukan kami akan turun padang dengan menyasarkan tiga rumah sehari atau mana yang termampu kerana tugas ini bukan mudah, ia memerlukan kita membuka satu persatu komponen barangan elektrik itu untuk proses mencuci lumpur, mengeringkan, pemeriksaan dan kerja membaik pulih dilakukan.

"Semalam sahaja, kami berjaya membaiki empat peti sejuk, dua peti sejuk beku serta dua mesin basuh selain turut membantu memeriksa pendakwaian elektrik rumah yang terjejas.

"Kami memberikan giliran kerana sambutan menggalakkan dan insya-Allah kita akan teruskan usaha ini mengikut keperluan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:41 PM