PANEL Penilai Pentauliahan Program Kemahiran melakukan lawatan verifikasi pentauliahan di premis penyedia latihan kemahiran.
PANEL Penilai Pentauliahan Program Kemahiran melakukan lawatan verifikasi pentauliahan di premis penyedia latihan kemahiran.

Keperluan modal insan yang berdaya saing serta mampu menangani cabaran perubahan di tempat kerja melalui kemahiran teknikal dan vokasional berdasarkan industri menjadi agenda utama dalam memperkasakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) adalah badan pentauliahan dan persijilan kemahiran di KSM dalam meneraju pembangunan sumber manusia mahir negara selaras keperluan industri melalui program TVET yang ditawarkan berdasar kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK).

Antara peranan utama JPK adalah melaksanakan pentauliahan program Latihan Kemahiran yang ditawarkan oleh penyedia TVET di Malaysia melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB).

Sehingga kini sebanyak 1,236 Pusat Bertauliah (PB) awam dan swasta melaksanakan program kemahiran di bawah jabatan ini.

Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Datuk Ts Zaihan Sukri berkata, pembabitan penyedia Latihan TVET memberi impak yang besar kepada negara dalam menghasilkan modal insan yang berkemahiran serta berdaya saing.

"Pentauliahan program kemahiran yang ditawarkan oleh penyedia TVET ini perlu memenuhi empat kriteria utama pentauliahan sebagaimana merujuk Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) di bawah Seksyen 23," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keperluan akta ini, penyedia TVET mestilah memenuhi kriteria yang ditetapkan antara mempunyai premis, kemudahan latihan dan penilaian, tenaga pengajar yang berkelayakan, kurikulum berdasarkan SKPK dan memenuhi tatacara dan polisi yang ditetapkan oleh JPK.

"Sehingga kini sebanyak 4,973 program ditawarkan oleh semua PB awam dan swasta bermula dari Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1, tahap 2, tahap 3, Diploma Kemahiran Malaysia (tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (tahap 5). Selain persijilan penuh Sijil Kemahiran, PB juga digalakkan melaksanakan program berbentuk modular bagi membantu tenaga kerja di industri untuk mengikuti latihan secara berperingkat bagi peningkatan kompetensi dalam memenuhi keperluan kerja semasa," katanya.

Beliau berkata, pelbagai insentif dan pembiayaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang juga di bawah KSM turut diberikan kepada pelatih dan peserta program yang mengikuti latihan kemahiran sama ada program persijilan penuh mahu pun modular yang ditawarkan oleh semua PB ini.

"Dalam pada itu juga, semua PB perlu sentiasa mengekalkan kualiti latihan yang ditetapkan serta memastikan program yang dijalankan selari dengan keperluan standard serta memenuhi keperluan industri dan perubahan teknologi dari semasa ke semasa. JPK sentiasa memberi ruang kepada PB untuk memberikan input serta cadangan penambaikan program supaya pelaksanaan program TVET dapat memberi kesan yang positif kepada graduan dalam memenuhi keperluan pekerjaan di negara ini," katanya.

Menurutnya, selari dengan hasrat kerajaan menyatupadukan sistem jaminan kualiti tunggal program TVET, JPK juga bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan mengeluarkan Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA) berkuat kuasa mulai tahun ini.

Dokumen berkenaan, katanya, menjadi rujukan utama penyedia TVET dalam melaksanakan program kemahiran teknikal dan vokasional yang lebih kompetitif dan mengamalkan amalan terbaik dalam pengendalian program latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 11:14 AM