Nazdy Harun


Kuala Nerus: Minat mendalam seorang lelaki terhadap sukan memanah mendorongnya untuk membuat sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu.

Menurut Zulkifli Latif, 59, dari Kampung Padang Hangus berkata, dia mula menceburi sukan memanah sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, ketika itu untuk mendapatkan alatan memanah terutama busur amat sukar dan mendorong dirinya untuk cuba membuat sendiri busur dengan menggunakan bahan antaranya buluh, kayu, rotan dan batang joran.

"Setahun saya cuba membuat dengan menggunakan bahan berkenaan dan fizikalnya memang busur namun ketahanannya tidak sesuai untuk aktiviti sukan memanah.

Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN
Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN

"Namun, usaha yang berterusan kini membuahkan hasil apabila busur yang diperbuat menggunakan epoxy fiber (EFG) yang dibeli dari negara China, sesuai untuk dijadikan busur panah," katanya.

Menurutnya, ketahanan EFG yang boleh dilentur dan tidak patah mendorongnya menggunakan bahan itu dalam pembuatan busur selain kelengkapan lain seperti kayu dan tali.

Katanya, setiap busur dijual dengan harga RM400 hingga RM450 dan dalam empat hari dia mampu menyimpan 10 unit busur sebelum dijual kepada pelanggan.

Zulkifli berkata, di negara ini ada lapan pembuat busur sepenuh masa dan dia generasi pertama yang mampu membuat busur untuk kegunaan sukan memanah.

"Kalau dulu sukar mendapatkan alat memanah dan harganya mahal berikutan semuanya perlu diimport namun kini busur buatan tempatan sudah ada dan harganya tidak begitu mahal untuk dimiliki.

Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN
Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN

"Dalam sukan memanah ada empat kategori iaitu alat memanah (busur tradisional) yang kosong tiada alat bantu, alat memanah moden tanpa alat bantu (bare bow), recurve alat panah moden dengan mempunyai alatan bantu dan terakhir compound bow yang mempunyai fungsi moden sepenuhnya," katanya.

Menceritakan pengalamannya menceburi bidang pembuatan busur, Zulkifli berkata, minat mendalam terhadap sukan memanah, namun mendapatkan alatannya sukar ketika itu selain harganya yang mahal memberi ilham buatnya untuk membuat busur sendiri.

"Usaha berterusan membuahkan hasil apabila dia mula menggunakan EFG dalam pembuatan busur kerana bahan itu boleh dilentur dan tidak mudah patah.

"Bermula dari situ, saya mengorak langkah dengan menghasilkan busur tradisional untuk pasaran tempatan yang biasanya digunakan kelab memanah dan individu persendirian selain dijual di kedai alat memanah," katanya.

Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN
Minat mendalam terhadap sukan memanah mendorong Zulkifli menghasilkan sendiri busur tradisional sejak empat tahun lalu. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:15 AM