SENTIASA sedia hadapi segala kemungkinan sebagai doktor veterinar kepada ribuan haiwan di Zoo Negara.
SENTIASA sedia hadapi segala kemungkinan sebagai doktor veterinar kepada ribuan haiwan di Zoo Negara.
Muhamaad Razis Ismail


Bukan mudah menetapkan tarikh yang bersesuaian menemu bual doktor veterinar ini kerana kesibukan menjalankan tugas hakikinya merawat dan menjaga ribuan haiwan di Zoo Negara.

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang daripada tiga doktor veterinar di zoo pertama negara yang beroperasi sejak tahun 1963 memerlukan Dr Qurratul Sa'adah Zulkafli, 27, sentiasa bersedia berdepan segala kemungkinan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Dr Q dalam kalangan kakitangan Zoo Negara cukup dedikasi dengan amanah yang diberikan kerana minat yang mendalam terhadap haiwan sejak daripada kecil.

Kali pertama bertemu di Hospital Veterinar Zoo Negara baru-baru ini, Dr Q memohon maaf kerana temu ramah terpaksa ditunda kerana perlu mengendalikan kes kecemasan membabitkan seekor yang haiwan yang cedera.

Dr Q berkata, sebagai doktor di zoo, dia perlu sentiasa bersedia berdepan pelbagai kes kecemasan membabitkan haiwan yang dianggap seperti pesakit di hospital biasa.

Katanya, rutin hariannya bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan kadangkala perlu bekerja lebih masa atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Kadangkala, apabila sudah balik, tiba-tiba dihubungi penjaga haiwan memaklumkan haiwan alami masalah kesihatan yang serius. Jadi, saya perlu segera kembali ke zoo untuk beri rawatan kecemasan. Biasanya apabila haiwan yang baharu selesai menjalani prosedur pembiusan, saya perlu tunggu sehingga haiwan sedar sepenuhnya.

MINAT mendalam terhadap haiwan mendorong Qurratul Sa'adah terbabit dalam bidang veterinar.
MINAT mendalam terhadap haiwan mendorong Qurratul Sa'adah terbabit dalam bidang veterinar.

"Selain itu, ada kalanya saya perlu turut serta ketika program pemindahan haiwan yang biasanya dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan ia (haiwan) stres," katanya.

Biarpun perlu bekerja tidak tentu masa, minat mendalam terhadap haiwan, menjadikannya sentiasa seronok dalam melaksanakan tugasnya sebagai doktor veterinar.

Menurutnya, cita-cita untuk menjadi doktor veterinar sudah diimpikan sejak dia berusia enam tahun lagi.

"Dari kecil, saya sememangnya minat haiwan. Apabila terjumpa kucing jalanan, saya berani mengusap haiwan itu dan berikannya makan.

"Kemudian, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang veterinar dengan memberi fokus terhadap haiwan liar. Alhamdulillah pada Oktober tahun lalu, saya berjaya merealisasikan impian menjadi doktor veterinar di Zoo Negara," katanya.

Jelasnya, sebagai doktor veterinar di Hospital Veterinar Zoo Negara, skop tugas utamanya adalah menjaga dan memastikan kesihatan serta kebajikan haiwan dalam keadaan baik.

"Untuk itu, pemeriksaan secara menyeluruh dan berkala perlu dilakukan. Selain itu, diagnosis perlu dilakukan sekiranya haiwan sakit sebelum rawatan dijalankan.

"Pada masa sama, saya bertanggungjawab memastikan makanan dan diet yang betul diberikan kepada haiwan. Jika berlaku kematian, bedah siasat akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.

Katanya, untuk menjalankan rawatan terhadap haiwan liar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk memastikan keselamatan perawat.

"Dalam merawat dan mengendalikan haiwan liar, keselamatan diri aspek yang perlu diutamakan. Biarpun kita rasa haiwan ini jinak, kita perlu sentiasa berjaga-jaga kerana secara alamiah, haiwan ini liar dan boleh menyerang kita pada bila-bila masa.

"Dalam usaha kita menjalankan rawatan, haiwan ini mungkin beranggapan kita ingin menyerang dan mencederakannya.

"Saya bersyukur pasukan penjaga haiwan sangat mahir dan terlatih dalam mengendalikan haiwan ini dengan baik sehingga pemeriksaan dan rawatan boleh dijalankan dengan selamat," katanya.

Dr Q berkata, bukan mudah merawat dan menjaga haiwan di sini kerana setiap spesies memerlukan pendekatan yang berbeza.

"Malah, masih banyak penyakit haiwan liar dalam peringkat kajian. Biarpun begitu, kami akan mencuba sehabis baik untuk memastikan haiwan di sini dalam keadaan baik.

"Hospital Veterinar Zoo Negara akan sedaya upaya menyediakan penjagaan kesihatan dan rawatan terbaik kepada semua haiwan ditempatkan di sini.

QURRATUL Sa’adah ingin mengembangkan kariernya dalam bidang veterinar.
QURRATUL Sa’adah ingin mengembangkan kariernya dalam bidang veterinar.

"Bagi kami di sini, berjaya merawat dan mengembalikan kesihatan haiwan dianggap kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Katanya, biarpun baharu setahun bertugas di Zoo Negara, dia mengakui melalui banyak pengalaman yang banyak mengajarnya menjadi seorang doktor veterinar yang baik.

"Antara yang masih segar dalam ingatan, ketika kami sedang merawat seekor napuh yang cedera akibat bergaduh. Ketika proses menjahit luka hampir selesai, secara tiba-tiba, degupan jantung haiwan itu berhenti.

"Bagaimanapun kami tidak berputus asa. Kami menjalankan CPR (Bantuan Pernafasan Kecemasan) hampir sejam sehingga mamalia itu kembali bernafas dan jantungnya kembali berdegup.

"Bagi saya, ini pengalaman yang sedih dan pada masa menggembirakan apabila dapat menyelamatkan haiwan yang sudah dianggap sebagai keluarga Zoo Negara," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin mengembangkan pengetahuannya dalam bidang veterinar dengan menyertai pelbagai bengkel berkaitan dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sekarang di Zoo Negara, saya dan pasukan buat hampir semua perkara berkaitan penjagaan dan rawatan haiwan liar. Pada masa hadapan saya ingin kecilkan skop dengan menjadi pakar dalam bidang tertentu berkaitan veterinar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 7:00 AM