Nazdy Harun

Kuala Berang: Obses dengan reka bentuk rumah dan ukiran tradisional, seorang warga emas berjaya menyiapkan 16 buah rumah tradisional berserta ukiran dalam tempoh 17 tahun.

Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, dari Kampung Pauh dekat sini, berkata, kira-kira 17 tahun lalu, dengan bermodalkan RM30,000, dia membina sebuah rumah tradisional.

Menurutnya, pada mulanya, dia banyak membeli rumah-rumah tradisional yang dijual penduduk di sekitar negeri ini sebelum ia dibaik pulih.

Katanya, sejak 17 tahun lalu, setiap tahun, dia akan menyiapkan sebuah rumah yang kebanyakannya binaannya dibuatnya sendiri, termasuk ukiran.

"Minat terhadap reka bentuk rumah tradisional yang mempunyai ukiran-ukiran tersendiri mendorong saya untuk terus memiliki pelbagai koleksi rumah.

"Kini, saya mempunyai tiga unit rumah berusia lebih 150 tahun yang diberi nama Rumah Tok Pauh, Mat Kilau dan Tok Gajah," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Pok Tun dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, dia mendirikan 16 buah rumah tradisional berkenaan di atas tanah berkeluasan satu hektar yang dibeli secara berperingkat memandangkan harga tanah dahulu tidak semahal sekarang.

Katanya, bermula hanya sekadar hobi, dia tidak menyangka minatnya terhadap ukiran dan reka bentuk rumah tradisional membolehkannya memiliki koleksi rumah yang banyak.

ANTARA rumah tradisional, ukiran dan replika rumah milik Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, di Kampung Pauh. FOTO Nazdy Harun
ANTARA rumah tradisional, ukiran dan replika rumah milik Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, di Kampung Pauh. FOTO Nazdy Harun

Tuan Ahmad berkata, nilai keseluruhan kawasan binaan termasuk rumah, ukiran-ukiran dan tanah ialah kira-kira RM20 juta.

"Minat mendalam terhadap rumah tradisional mendorong saya untuk terus membina dan menghiasi kawasan ini.

"Antara nama lain rumah tradisional ini ialah Tok Pulau Manis, Tok Gajah, Tok Ku Paloh, Tok Janggut serta Sheikh Muhammad Al-Baghdadi.

"Selain nama-nama tokoh pahlawan Melayu, sebuah rumah diabadikan dengan nama saya itu Tun Ahmad manakala sebuah lagi sempena nama ayah saya iaitu Tun Abdullah.

"Kesemua rumah yang memiliki 50 bilik ini dijadikan inap desa," katanya yang sebelum itu berniaga kedai makan.

Menurutnya, selain membina rumah, dia turut membina sendiri dewan terbuka dan tertutup di kawasan rumah tradisional berkenaan.

Katanya, selain berkemahiran dalam membina rumah tradisional, dia juga mampu menghasilkan ukiran pada bahagian rumah tradisional selain membina replika kediaman tradisional.

Menceritakan pengalamannya membina atau membaik pulih rumah tradisional, Tuan Ahmad berkata, biasanya rumah yang dibeli strukturnya masih utuh, namun bahagian atap rosak kerana ia menggunakan atap senggora.

"Bagi mendapatkan atap senggora, saya akan ke Kelantan untuk membelinya selain bagi mengekalkan keaslian sesebuah rumah.

"Alhamdulillah, selepas sekian lama berkecimpung dalam pembinaan rumah tradisional, ukiran dan membuat replika rumah tradisional secara sendirian, kini saya mampu menerima tempahan untuk membina rumah tradisional milik pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 10:31 AM