TIDAK kekok beraksi di pentas antarabangsa.
TIDAK kekok beraksi di pentas antarabangsa.
Muhamaad Razis Ismail


Mengenakan busana tradisional batik sambil menarik tali busur panah, wanita ini dilihat seperti srikandi Melayu yang berjuang di medan peperangan.

Raut wajahnya yang serius, jelas menggambarkan Norsiani Mohd Nor, 41, begitu fokus membidik sasaran pada jarak kira-kira 60 meter.

Bukan mudah untuk memastikan anak panah menemui sasaran tepat kerana pelbagai perkara yang perlu diambil kira termasuk kelajuan angin, pemilihan peralatan memanah, postur badan dan pernafasan.

Namun, kemampuan dimiliki ibu tiga cahaya mata ini, meletakkannya sebagai antara pemanah tradisional wanita disegani apabila berjaya membidik sasaran emas dalam pelbagai kejohanan pemanah tradisional di peringkat antarabangsa termasuk Kyrgyzstan, Turkiye dan Kazakhstan.

Baru-baru ini, jurulatih memanah tradisional ini meraih emas dalam kejohanan pemanah tradisional antarabangsa bagi kategori Central Asian Target di Kyrgyzstan dan Zhamby Target di Kazakhstan, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Lebih membanggakan, semuanya dilakukan dengan inisiatif dan usaha sendiri atas dasar minat dan kepuasan diri.

Menariknya, sukan memanah tradisional berbeza bukan sahaja dari segi penggunaan peralatan memanah dan teknik, malah pemanah perlu mengenakan pakaian tradisional ketika pertandingan terutama di kejohanan luar negara.

Norsiani berkata, dia mula menceburi sukan memanah tradisional ini sejak 2010 sehingga kini.

MEMENANGI emas di Kazakhstan bagi kategori ‘Zhamby Target’ pada April lalu.
MEMENANGI emas di Kazakhstan bagi kategori ‘Zhamby Target’ pada April lalu.

MEMANAH tradisional memberi kepuasan berbeza. - FOTO Mohd Fadli Hamzah
MEMANAH tradisional memberi kepuasan berbeza. - FOTO Mohd Fadli Hamzah

Katanya, pada mulanya dia terbabit dengan sukan memanah tradisional ini sekadar mengisi masa lapang pada hujung minggu dan perasaan ingin mencuba sukan baharu.

"Ketika proses pembelajaran saya mendapati sukan ini mempunyai banyak manfaat antaranya sukan saranan Rasulullah.

"Selain itu, saya juga dapat membentuk nilai positif dalam diri saya untuk sentiasa fokus, positif, membina matlamat dan keyakinan diri," katanya.

Menurutnya, pembabitannya dalam sukan tradisional itu mendapat dorongan dan sokongan kuat daripada keluarga terutama suami yang juga pemanah tradisional dan pemanah berkuda.

"Daripada sekadar hobi, kini memanah tradisional menjadi kerjaya hingga kini. Saya juga mempunyai tanggungjawab dalam pembangunan kelab sebagai seorang daripada ahli jawatankuasa Kelab Memanah Tradisional Cyberjaya (Cybertra).

"Pembangunan kelab itu menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan ini terutama wanita dan kanak-kanak," katanya.

Katanya, menerusi aktiviti memanah tradisional, dia berpeluang menyertai pelbagai kejohanan dianjurkan di pelbagai negara.

"Antara pertandingan yang tidak boleh dilupakan adalah di 'World Nomad Games' di Iznik Turkiye pada tahun lalu dan memenangi emas berpasukan untuk Puta Target bagi kategori wanita.

"Uniknya, kejohanan ini mempertandingkan pelbagai sukan tradisional dari seluruh dunia termasuk memanah berkuda, kok par, kok buru, gusti dan eagle hunting," katanya.

Dia berkata, untuk menjadi pemanah yang baik perkara lebih penting adalah berguru secara bersemuka.

NORSIANI menyertai Pertandingan Memanah Tradisional Antarabangsa Altyn Orda Di Atyrau, Kazakhstan pada April lalu.
NORSIANI menyertai Pertandingan Memanah Tradisional Antarabangsa Altyn Orda Di Atyrau, Kazakhstan pada April lalu.

BERJAYA mengibarkan Jalur Gemilang di Osh, Kyrgyzstan.
BERJAYA mengibarkan Jalur Gemilang di Osh, Kyrgyzstan.

"Pada masa sama, pemanah perlu sentiasa berusaha mencari ilmu, dapat memberi komitmen sepenuhnya, banyak bersabar, tenang, berkeyakinan tinggi, fokus dan tidak meninggi diri apabila memperoleh sesuatu kejayaan," katanya.

Tambahnya, bukan mudah untuk terbabit dalam sukan ini kerana kos bagi peralatan memanah terutama busur dan anak panah alami agak mahal.

"Sebagai contoh kejohanan di luar negara kebanyakan mewajibkan untuk menggunakan anak panah alami. Kos bagi anak sebatang anak panah boleh mencecah RM30. Anak panah jenis ini juga adalah sensitif (mudah patah dan rosak) dan mempunyai jangka hayat yang singkat.

"Selain itu, saya juga berdepan kesukaran mendapat ruang atau tempat latihan yang tetap terutama di bandar. Sebagai contoh saya perlu menyewa ruang latihan sendiri untuk membuat latihan dan persediaan ke sebarang kejohanan," katanya.

Katanya, wanita yang ingin terbabit secara serius dengan sukan in perlu mendapat restu dan sokongan daripada pasangan masing-masing serta keluarga.

"Mereka juga perlu pandai mengagihkan masa dan memberi komitmen terutama dalam sesi latihan dan persediaan pertandingan.

"Selain itu, perlu menjaga batas pergaulan, tetapkan matlamat dan berani menyahut cabaran. Untuk mendapat kejayaan perlu seiring dengan usaha, komitmen serta doa yang berterusan," katanya.

Dia berharap, suatu hari nanti sukan memanah tradisional mendapat pengiktirafan yang setara seperti sukan teras lain di Malaysia. Selain dijadikan antara sukan yang layak dipertandingkan di dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan seterusnya ke peringkat sukan yang lebih tinggi.

"Minat terhadap sukan memanah tradisional ini boleh diterapkan di semua sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:00 AM