Seramai tujuh individu warga Vietnam berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun ditahan selepas didapati masuk ke negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. FOTO IHSAN APMM
Seramai tujuh individu warga Vietnam berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun ditahan selepas didapati masuk ke negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. FOTO IHSAN APMM
Juwan Riduan


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan asing bersama tujuh warga Vietnam membabitkan rampasan bernilai RM500,000.

Bot berkenaan ditahan menerusi Op Pluto Timur, pada jarak tujuh batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu Pitas pada 8 pagi semalam.

Pengarah Zon APMM Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, berdasarkan struktur fizikal, pasukan operasi mengesyaki bot terbabit adalah bot nelayan asing Vietnam dan terus melakukan pintasan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, bot terbabit berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati ada tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam lingkungan 35 hingga 50 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi kemudiannya merampas 3,000 liter bekalan diesel, hasil gamat serta peralatan menangguk gamat.

"Bot berkenaan kemudiannya diiringi balik ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Boon berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM500,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, bot berkenaan menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk menjarah gamat yang diperbuat daripada besi.

"Peralatan ini sangat berat dan ia mampu memecahkan batu karang di dasar laut ketika melakukan aktiviti menjarah gamat.

"Peralatan ini tidak dibenarkan untuk digunakan oleh sesiapa saja termasuk nelayan tempatan," katanya.

Boon berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, sabit kesalahan tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta, manakala bagi kru atau awak-awak pula sebanyak RM600,000 setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucut hak.

Sehubungan itu, Boon berkata, sebarang salah laku jenayah dan kecemasan boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia ditalian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:38 PM