Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Tindakan dua lelaki menyewa sebuah lori tangki untuk melakukan aktiviti penyelewengan diesel membawa padah apabila mereka ditahan penguatkuasa Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini, petang semalam.

Lelaki warga tempatan terdiri daripada pemandu lori serta kelindan berusia lingkungan 20 dan 30-an itu ditahan pada jam 4.30 petang ketika mereka sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pemeriksaan ke atas lori tangki itu menemui satu unit tangki besi berkapasiti 10,800 liter di bahagian belakang dan satu unit tangki berkapasiti 800 liter di sebelah tepi yang digunakan untuk mengisi diesel.

"Seterusnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan anggota penguatkuasa menemui kira-kira 1,800 liter diesel sudah diisi di kedua-dua tangki berkenaan.

"Kita dapati modus operandi yang digunakan adalah mereka mengutip diesel bersubsidi ini dari satu stesen ke stesen minyak lain.

"Bahkan, siasatan ke atas dua lelaki ini memaklumkan bahawa mereka menyewa lori tangki ini sejak dua bulan lalu untuk melakukan aktiviti penyelewengan ini bagi meraih pendapatan antara RM200 ke RM300 sehari," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri, di sini, hari ini.

Jegan berkata, dalam operasi itu pihaknya merampas dan menyita sebuah lori, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit, walkie-talkie serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM35,719.

"Kita kini sedang mengenalpasti sama ada terdapat anggota sindiket lain yang terbabit dalam kegiatan ini.

"Modus operandi sindiket penyelewengan ini sentiasa berubah-ubah kerana sebelum ini kita jumpa mereka menggunakan lori tanah yang terdapat tangki diubahsuai, tetapi kali ini guna lori tangki betul (mungkin untuk mengelirukan penguatkuasa) yang kita akan melakukan pemeriksaan pada setiap masa," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:22 PM
S Jegan (kanan) bersama A Mogan menunjukkan modus operandi pemindahan minyak diesel dari tangki minyak lori ke dalam tangki simpanan lori terbabit. FOTO Danial Saad
S Jegan (kanan) bersama A Mogan menunjukkan modus operandi pemindahan minyak diesel dari tangki minyak lori ke dalam tangki simpanan lori terbabit. FOTO Danial Saad