Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Kerana terdesak memerlukan wang menyebabkan seorang bapa kepada empat anak sanggup mengambil upah untuk menyeleweng minyak diesel.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi lelaki berusia 40-an itu apabila perbuatan yang baharu sahaja kali pertama dilakukannya terbongkar selepas dia ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, di sini, jam 3.45 petang semalam.

Ketika ditahan suspek sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam sebuah lori tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, A Mogan, berkata pemeriksaan ke atas lori dipandu suspek mendapati dia mengisi kira-kira 800 liter minyak diesel bernilai RM1,720 di dalam dua buah tangki berkapasiti 2,000 liter yang diubahsuai.

A MOGAN menunjukkan lori satu tan yang diubahsuai mempunyai dua tangki berisi diesel ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad
A MOGAN menunjukkan lori satu tan yang diubahsuai mempunyai dua tangki berisi diesel ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad

"Modus operandi yang digunakan sama seperti sindiket-sindiket sebelum ini yang kita dapati mula tumbuh seperti cendawan.

"Soal siasat mendapati suspek baharu hari pertama menjalankan kegiatan itu kerana terdesak untuk mencari wang kerana dia baharu kehilangan kerja.

"Untuk tugasan ini, dia dibekalkan dengan wang sebanyak RM1,500 untuk mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak dan akan menerima upah sebanyak RM150," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP di Bukit Minyak, di sini, hari ini.

Jelasnya, pihaknya menyita 800 liter minyak diesel bersama lori satu tan, dua tangki fiber, dua pam dan paip hos yang dianggarkan bernilai RM11,520 dalam operasi itu bagi siasatan lanjut.

"Kita berterima kasih kepada orang awam yang berterusan bekerjasama dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyelewengan barang kawalan.

"Pada masa sama, kita turut berusaha membasmi kegiatan penyelewengan minyak diesel ini secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:11 PM