Siti Aminah Mohd Yusof


Batu Kawan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang berselindung di ladang ternakan lembu dan menahan seorang pemandu lori di Valdor, Simpang Ampat di sini, hari ini.

Pengarahnya, S Jegan berkata dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu pihaknya mendapati lelaki berusia 31 tahun terbabit sedang memindahkan minyak diesel dari tangki lori tanah 12 tan yang dipandunya ke tangki plastik yang ditempatkan di lokasi kejadian.

"Serbuan itu dilakukan hasil risikan selama seminggu termasuk menggunakan teknologi dron untuk mengintip pergerakan aktiviti tersebut sekali gus mengenal pasti kedudukan tempat bahan api itu disembunyikan.

"Maklumat lanjut berkaitan lokasi ini masih dalam siasatan tetapi kita pasti berdasarkan kedudukannya yang terpencil dan agak jauh, mustahil orang lain kecuali mereka yang ada kaitan dengan tempat ini saja yang tahu selok belok kawasan ini.

"Jalan masuk ke sini juga cukup sukar dengan penggunaan dron dalam intipan dan risikan sangat membantu pihak kami," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jegan berkata, berikutan itu KPDN negeri menyita lori tanah 12 tan berkenaan selain sebuah lori tanah tiga tan, 10,400 minyak diesel, 18 tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap unit, pam motor dan set pam hos dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM92,560.

"Lelaki tempatan yang ditahan itu mendakwa dia baru saja seminggu bekerja sebagai pemandu lori tanah 12 tan itu dengan hanya lori tersebut saja digunakan untuk mengambil minyak diesel sebelum dibawa ke premis ini.

"Kami pasti aktiviti tersebut telah lama dilakukan cuma mungkin pemandunya kerap bertukar manakala minyak yang dikumpulkan akan ditawarkan kepada mana-mana pembida atau pihak industri dengan harga tinggi dan bukan untuk dihantar ke negara jiran," jelasnya.

Beliau berkata, tangki lori tanah 12 tan yang diubahsuai itu mampu memuatkan 400 hingga 500 liter minyak berbanding tangki biasa yang terhad setakat 250 liter.

Menurutnya, dalang kegiatan yang mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sebulan itu adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan minggu lalu.

Beliau berkata susulan itu pihaknya sedang giat mengesan saki baki individu da;am sindiket membabitkan rangkaian penyelewengan diesel bersubsidi itu dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

S Jegan menunjukkan modus operandi pemindahan minyak diesel dari tangki lori ke tangki plastik dalam serbuan di Valdor di sini. FOTO Danial Saad.
S Jegan menunjukkan modus operandi pemindahan minyak diesel dari tangki lori ke tangki plastik dalam serbuan di Valdor di sini. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:25 PM