GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel selepas menahan sebuah lori di Sungai Petani, semalam.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, dalam operasi 9.50 pagi itu, pihaknya mendapati sebuah lori dua tan telah membuat pembelian minyak diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Sungai Petani.

"Pegawai penguat kuasa yang telah mengekori lori berkenaan mendapati kenderaan itu telah membuat pembelian minyak diesel sebanyak RM200 di stesen minyak pertama, RM150 di stesen minyak kedua dan RM150 di stesen minyak ketiga sebelum ditahan pegawai penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan menjumpai dua tangki berkapasiti 1,000 liter disambung dengan dua unit pam dan hos minyak. Pam dipasang bagi menyedut minyak dari tangki asal masuk ke tangki tambahan dan jumlah minyak disita sebanyak 232 liter dianggarkan bernilai RM500," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, turut disita ialah lori berkenaan, dua unit pam minyak dan hos serta dua unit tangki dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM16,500.

"Pemandu lelaki berusia 40-an telah ditahan dan direman bagi siasatan lanjut. Modus operandi ini dikesan aktif di kawasan Perindustrian Sungai Petani dan dipercayai minyak diesel tersebut dijual ke negara jiran dan juga pihak industri tempatan.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN Kedah ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewangan barang kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 11:11 PM