KPDN Negeri Pulau Pinang menyita kenderaan yang digunakan sindiket penyelewengan minyak diesel ketika mengadakan serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim dan Jalan Baru, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan KPDN Pulau Pinang
KPDN Negeri Pulau Pinang menyita kenderaan yang digunakan sindiket penyelewengan minyak diesel ketika mengadakan serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim dan Jalan Baru, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan KPDN Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel ketika mengadakan serbuan di dua lokasi di sini, semalam.

Pengarahnya S Jegan, berkata seramai tujuh penguatkuasa menjalankan serbuan di stesen minyak di Jalan Kulim dan Jalan Baru, di sini selepas menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, serbuanzz pertama kira-kira jam 5 petang membabitkan pemandu sebuah kenderaan mewah jenis pelbagai guna (MPV) yang didapati sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan awal menemui satu unit tangki simpanan yang berkapasiti 900 liter yang digunakan untuk mengisi minyak diesel.

"Seterusnya pada serbuan kedua sekitar jam 9.40 malam, anggota penguatkuasa menahan sebuah lori yang pemandunya juga dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah tangki minyak diesel dalam lori terbabit yang berkapasiti 2,000 liter dan terdapat sejumlah 460 liter minyak diesel disimpan dalam tangki terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua pemandu warga tempatan berusia 30-an dan 50-an itu didapati menggunakan kenderaan milik sindiket bagi tujuan penyelewengan.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 11:40 AM