KPDN Selangor tumpas kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Seksyen 22 dekat sini, pada Isnin lalu. FOTO IHSAN KPDN Selangor
KPDN Selangor tumpas kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Seksyen 22 dekat sini, pada Isnin lalu. FOTO IHSAN KPDN Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kegiatan penyelewengan diesel subsidi oleh satu sindiket di sebuah stesen minyak di Seksyen 22 di sini, terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Isnin lalu.

Turut ditahan dalam serbuan 10.30 malam itu, lima lelaki termasuk seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh, berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas tiga lori termasuk kontena yang diubah suai serta 13,802 liter diesel berjumlah RM29,674.

Beliau berkata, sebelum serbuan, didapati ketiga-tiga lori berkenaan berulang kali melakukan pengisian di stesen itu selama dua jam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pengisian menggunakan dua nozel pam pada satu-satu masa.

"Minyak itu kemudiannya disalurkan ke tangki tambahan termasuk jenis fiber yang sudah diubah suai di dalam lori atau kontena melalui pam penyedut.

"Lori berisi kontena itu contohnya mengisi 8,352 liter diesel daripada keseluruhan kapasiti kontena sebesar 20,000 liter," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati terdapat 16 transaksi pembayaran dilakukan sindiket itu dalam tempoh dua jam melakukan aktiviti berkenaan.

Jelasnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif melakukan kerja penyelewengan sejak enam bulan lalu.

Katanya, modus operandi sindiket adalah membuat pengisian di stesen minyak sama secara berulang antara enam hingga 10 kali dalam satu hari.

"Sindiket ini dipercayai bergerak aktif bermula 9 malam hingga 1 pagi dengan kesemua diesel subsidi itu dihantar ke stor penyimpanan sebelum dijual di pasaran gelap.

"Hasil pemeriksaan, lori-lori digunakan itu tidak mempunyai lesen dan permit daripada KPDN bagi tujuan urusan barangan kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 9:50 AM