LORI dan tangki skid yang digunakan syarikat kuari disita. FOTO Ihsan KPDN Perak.
LORI dan tangki skid yang digunakan syarikat kuari disita. FOTO Ihsan KPDN Perak.
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel yang turut didalangi syarikat kuari di sini.

Kejayaan itu susulan serbuan ke sebuah premis di kawasan kuari berkenaan melalui Op Tiris, hasil pemantauan dan intipan seminggu ke atas aktiviti pembelian diesel di stesen minyak sekitar Manjung yang menggunakan lori.

Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan ke atas premis menjumpai satu unit tangki dianggar berkapasiti maksimum 15,000 liter, selain lori dan cecair disyaki diesel dianggarkan berjumlah 2,250 liter.

"Turut ditemukan beberapa peralatan digunakan untuk memindahkan diesel," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mengulas modus operandi digunakan, katanya, mereka menggunakan lori disyaki diubah suai tangki asal untuk melakukan pembelian diesel di stesen minyak secara berulang.

"Setiap pembelian dianggarkan berjumlah 250 liter dan mereka mengulangi pembelian sehingga empat kali setiap hari, sebelum diesel bersubsidi ini disimpan sementara untuk kegunaan jentera atau kenderaan milik syarikat.

"Sepatutnya, pihak syarikat membeli dan menggunakan diesel kategori komersial atau industri bukannya diesel bersubsidi," katanya.

Kamalludin berkata, susulan serbuan itu, dua lelaki berusia 69 dan 53 tahun disyaki dalang utama ditahan untuk siasatan lanjut, dengan barang disita dianggarkan berjumlah RM46,800.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 10:46 PM