Tinjauan bas sekolah di sebuah sekolah di  Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tinjauan bas sekolah di sebuah sekolah di Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Persatuan Gabungan Pengusaha Pemandu Bas Sekolah Malaysia menafikan dakwaan kenaikan tambang bas sekolah mencecah sehingga RM300 sebulan seperti yang dilaporkan di Pulau Pinang, minggu lalu.

Presidennya, Dr M Muruga berkata dakwaan kenaikan tambang bas sekolah itu disifatkan melampau dan karut sehingga menyebabkan ia menimbulkan kegelisahan ibu bapa serta penjaga seluruh negara.

Muruga yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor tidak menafikan tambang bas sekolah sesi persekolahan tahun ini terpaksa dinaikkan kerana peningkatan kos operasi, namun kenaikannya minimum dan mengikut persetujuan ibu bapa iaitu antara RM4 sehingga RM50, mengambil kira jarak dan lokasi.

"Minggu lalu ada dilaporkan kenaikan tambang bas sekolah sehingga RM300 sebulan yang berlaku di Pulau Pinang.

"Namun bagi saya ia karut. Ia tidak begitu. Saya nak maklumkan pengusaha bas sekolah bertimbang rasa dan faham keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

"Pengusaha bas akan memaklumkan terus kepada ibu bapa atau penjaga jika mahu menaikkan tambang bas dan boleh berlaku tawar menawar sehingga harga yang dipersetujui bersama dimuktamadkan.

"Kami bukanlah kejam dan tidak berhati perut sehingga menaikkan tambang bas sekolah sehingga ratusan ringgit. Kita boleh bincang dan berkompromi kerana faham keadaan ekonomi sekarang menyebabkan kos sara hidup naik mendadak," katanya ketika dihubungi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan memaklumkan perkara berkenaan susulan isu cadangan pengusaha bas sekolah menaikkan harga tambang bas bermula 3 Januari 2023.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat dilaporkan berkata kadar tambang bas sekolah berkemungkinan naik mulai sesi persekolahan Januari ini.

Amali Munif dipetik berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi yang meningkat disebabkan harga alat ganti yang tinggi, kenaikan gaji pemandu dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen.

Dalam pada itu, Muruga merayu kerajaan supaya memberikan subsidi diesel RM1 seliter kepada pengusaha bas sekolah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berikutan bebanan kewangan akibat kos operasi yang semakin naik mendadak.

Katanya, sejak 2017 kerajaan memberikan subsidi diesel kepada pengusaha bas berdaftar dengan harga RM1.88 seliter, namun sejak Oktober lalu, subsidi itu seolah-olah sudah ditarik balik.

"Saya mendapat banyak aduan daripada kira-kira 3,500 pengusaha bas sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak, bahawa mereka sudah tidak lagi mendapat harga diesel subsidi RM1.88 seliter sejak Oktober lalu.

"Apabila pengusaha meminta penjelasan daripada stesen minyak, mereka mendapati mesin subsidi sudah rosak menyebabkan pengusaha bas sekolah terpaksa membayar harga diesel mengikut pasaran semasa iaitu RM2.15 seliter.

"Ini sangat membebankan sehingga memungkinkan ada pengusaha mengambil kesempatan menaikkan tambang bas sekolah sewenang-wenangnya.

"Oleh itu, kami merayu supaya kerajaan memberi semula subsidi diesel dengan kadar baharu iaitu RM1 seliter bagi menyerap kos operasi bas sekolah yang naik mendadak," katanya.

Muruga juga turut merayu, APAD supaya permit bas sekolah ditambah lima tahun lagi menjadi 35 tahun, berbanding syarat permit ketika ini usia bas sekolah mestilah maksimum 30 tahun sahaja.

Katanya, pengusaha bas rela menghantar bas sekolah ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap lima tahun tambahan itu sebelum permit tamat.

"Kami bukan tidak mahu membeli bas sekolah baharu namun harganya sangat tinggi dan di luar kemampuan ahli persatuan yang 80 peratus daripadanya adalah golongan warga emas dan ibu tunggal.

"Kami cuba mendapatkan pinjaman bank dan syarikat kewangan namun atas alasan usia, permohonan pinjaman kami ditolak begitu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 3:06 PM