Kuala Lumpur: Pengusaha bas ekspres di negara ini bercadang untuk menaikkan harga tambang sebanyak 30 peratus pada Mac depan bagi membantu menampung kos operasi yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express Sdn Bhd Abu Bakar Mohamad berkata, dengan bebanan kos operasi hari ini, pengusaha memerlukan tambang bas ekspres dinaikkan daripada harga semasa.

Beliau berkata, sebelum ini, pengusaha sudah beberapa kali merayu diberi kenaikan, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

“Kerajaan wajar menyemak harga tambang bas ekspres dengan segera memandangkan mereka (pengusaha) memerlukan pendapatan lebih baik untuk menampung peningkatan kos operasi.

“Jika boleh, esok juga pengusaha mahu melaksanakan harga tambang baru, tapi kami tidak mahu membelakangkan kerajaan dalam membuat keputusan.

“Kami harap, keputusan (untuk menaikkan tambang) dapat dilakukan secepat mungkin dan selewat-lewatnya Mac depan,” katanya pada sidang media bersama Pengarah Eksekutif Pentadbiran dan Undang-Undang Konsortium Mutiara Bhd Naemah Ya’acob dan Ketua Pegawai Operasi Sri Maju Sarata Ekspres Sdn Bhd Wendy Chin di sini, semalam.

Naemah pula berkata, kali terakhir tambang bas disemak pada Julai 2009 bagi mengimbangi kos diesel (yang ketika itu) berharga RM2.58 seliter.

Kata Naemah, masalah berkenaan sudah lama berlarutan dan tidak boleh dibiarkan dengan lebih lama lagi.

Katanya, meskipun harga diesel turun sekarang, harga bahan api itu bukan faktor utama kerana banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira.

“Pengusaha berdepan dengan faktor gaji minimum pekerja, penambahbaikan dalam mutu perkhidmatan, peningkatan caj servis bulanan kenderaan, aspek keselamatan penumpang dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 8:24 AM