Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Pengusaha bas sekolah tetap menaikkan surcaj tambang bermula Januari ini dengan struktur tambang bas masing-masing ditentukan secara individu dan bebas.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu satu keperluan selepas lebih lima tahun tambang bas sekolah tidak pernah dikaji semula, selain peningkatan kos operasi termasuk alat ganti.

“Kali terakhir tambang bas dikaji semula adalah pada 2009 iaitu ketika Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) masih beroperasi dan sehingga kini pengusaha masih mengikut kaedah pengiraan tambang yang ditetapkan LPKP sebagai panduan.

“Bagaimanapun, pengusaha kini dalam dilema kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak meletakkan harga siling sebagai panduan kepada pengusaha bas sekolah dan pada masa sama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengusaha bas sekolah yang mengenakan tambang secara kolektif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PPBSM, di sini, semalam.

Baru-baru ini, MyCC memberi amaran kepada persatuan bas sekolah yang bersetuju dalam pakatan menetapkan kadar kenaikan harga tambang secara kolektif akan dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 4, Akta Persaingan 2010.

Ia susulan daripada penyahkawalan tambang bas sekolah oleh SPAD yang membuat keputusan pengendali bas tidak terikat kepada satu struktur tambang bas tetap lagi, tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan kos operasi mereka sendiri.

Beliau berkata, apa yang dikesali adalah sikap SPAD yang sehingga kini tidak mengambil sebarang langkah walaupun masalah itu diajukan kepada pihak berkenaan beberapa kali.

Katanya, menerusi mesyuarat pada Januari lalu, pihaknya diberitahu kadar tambang bas sekolah diapungkan sehingga harga tambang baru diumumkan dan pada awalnya, dicadangkan pengumuman harga tambang bas baru selepas cuti Tahun Baharu Cina, namun ia ditunda bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

“Namun, selepas beberapa siri pilihan raya kecil sehingga Oktober lalu, baru SPAD buat pengumuman, tetapi bukannya memberitahu kadar tambang bas, sebaliknya memberikan tanggungjawab menetapkan harga tambang bas kepada pengusaha bas dan ibu bapa.

“Sepatutnya, bagi mengelakkan kemelut ini berlarutan, SPAD harus menetapkan kadar tambang asas bagi membolehkan pengusaha bas sekolah tidak menaikkan harga yang membebankan pengguna sebaliknya tiada apa-apa keputusan dibuat setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:22 AM