GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mahu kerajaan mengawal selia kemasukan telur import dari India dengan lebih ketat bagi memastikan wabak selsema burung tidak menular dalam Malaysia.

Timbalan Presiden FLFAM Lee Yoon Yeau berkata, langkah kerajaan mengimport telur dari luar negara itu dialu-alukan bagi menampung kekurangan bekalan di Malaysia, namun aspek keselamatan makanan perlu dititik beratkan.

"Kita tiada masalah dengan import telur tetapi kita harap sangat kerajaan memperketatkan prosedur kemasukan bahan itu kerana kita bimbang dan tidak mahu wabak selsema burung masuk Malaysia sekali gus menjejaskan penternak.

"Buat masa ini, Malaysia bebas wabak itu kerana fasiliti ladang kita canggih dan berteknologi tinggi serta mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Jabatan Veterinar.

"Boleh dikatakan ladang Malaysia ini tak kalah dengan negara pengeluar telur Asia Tenggara lain, malah sebelum Covid-19 kita mampu mengeluarkan bekalan berlebihan untuk keperluan tempatan selain boleh eksport lagi ke luar seperti Singapura dan Hong Kong," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan mengimport dua hingga 10 juta telur ayam sehari dari luar negara seperti India bagi menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Mengulas lanjut, Lee berkata, faktor kekurangan bekalan telur di Malaysia disebabkan penternak kerugian besar selama dua tahun kesan kenaikan harga makanan ayam selain permintaan telur yang semakin meningkat.

"Dalam tempoh dua tahun ini penternak kerugian besar disebabkan harga dedak mahal.

"Kerajaan pula bermula Februari hingga September lalu menetapkan harga siling serta subsidi iaitu jumlahnya 40 sen untuk sebiji telur sedangkan kos operasi pengeluaran sebiji telur ialah 45 sen ke atas (penternak rugi) selain tuntutan untuk subsidi itu memakan masa sebulan hingga tiga bulan.

"Jadi, sebagai alternatif untuk mendapatkan aliran tunai untuk pusing modal dan tampung kos operasi penternak menukar sedikit pengeluaran telur biasa (gred A, B dan C) kepada telur omega kerana tiada harga kawalan.

"Apa yang kita perhatikan trend permintaan telur ayam juga semakin meningkat antara 15 hingga 20 peratus dalam tempoh dua bulan ini disebabkan kenaikan harga barang, ikan serta sayur," katanya.

Katanya, pihak industri menjangkakan isu kekurangan telur di negara ini akan pulih dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Kita rasa lega sedikit sejak Oktober lalu, kerajaan menaikkan subsidi daripada 8 sen kepada 10 sen yang membolehkan kita memperoleh harga ladang antara 45 hingga 50 sen (ikut gred) sebiji untuk dijual kepada pemborong atau pasar raya.

"Kita harapkan bekalan akan pulih dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang dan jika kerajaan mahu kawal harga kita terima saja tetapi jangan sampai kenakan harga kurang daripada 45 sen kos pengeluaran sebiji telur kerana ia akan membunuh periuk nasi penternak," katanya.

Mengenai dakwaan kartel mengawal industri itu hingga mengakibatkan krisis kekurangan telur, Lee menafikan perkara itu serta meminta kerajaan mahupun pihak berkuasa mengambil tindakan tegas jika perkara itu berlaku.

"Telur mana boleh ada kartel. Pengeluaran telur mengikut permintaan dan kita terus hantar kepada pembekal cepat mana boleh simpan lama-lama nanti busuk kita juga rugi.

"Secara logiknya, hampir dua tahun ini penternak sudah kerugian, ada antara kami lalui macam-macam sampai tidak mampu bayar bil utiliti jadi wajarkah kami buat macam itu sedangkan hendak pastikan kelangsungan operasi pun kami bersusah payah tak ada duit.

"Jadi jangan main tuduh-tuduh kalau betul ada buat macam itu (kartel), bukankah penguat kuasa ada, siasat dan tangkaplah," katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, krisis kekurangan telur ketika ini berlaku antaranya disebabkan wujudnya syarikat besar bertindak sebagai kartel dalam mengawal pasaran telur.

Katanya, kerajaan akan melihat isu itu secara serius bagi mengekang aktiviti kartel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:07 PM