Juhari Bulat
Juhari Bulat
Hamzah Osman


Langkawi: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat, mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul, semalam.

Menurutnya, peletakan jawatan Johari yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah juga turut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ya, saya mengesahkan surat peletakan jawatan ADUN Gurun yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah diterima pada Isnin.

"Pengosongan kerusi DUN Gurun berkuat kuasa serta merta itu juga sudah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Juhari berkata, peletakan jawatan Johari sebagai ADUN Gurun turut menyebabkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah terlucut secara automatik.

"Sudah pasti, 10 ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) Kedah akan bermesyuarat dan memilih Ketua Pembangkang yang baharu dalam tempoh terdekat," katanya.

Berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah dijangka diadakan pada tahun hadapan, adalah dijangkakan kerusi DUN Gurun akan dikosongkan sementara sehingga pilihan raya diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Untuk rekod, DUN Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS yang mengetuai kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) menyandang 15 kerusi, manakala BERSATU menyandang enam kerusi.

PH pula menyandang 10 kerusi, membabitkan PKR (4), AMANAH (4) dan DAP (2), manakala dua lagi kerusi disandang Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Semalam, media melaporkan ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan menerusi rakaman video beliau telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 12:39 PM