Datuk Zamri Yusuf
Datuk Zamri Yusuf
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf, dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang baharu berkuatkuasa 1 Februari lalu.

Pelantikan itu susulan keputusan penyandangnya sebelum ini, Datuk Johari Abdul, yang meletak jawatan pada Disember tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Speaker Dun Kedah, Datuk Juhari Bulat, sebelum sesi pertanyaan lisan Sidang Dun Kedah bermula hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Juhari turut memaklumkan bahawa kerusi Dun Gurun yang disandang Johari sebelum ini, akan dikosongkan sehingga habis penggal Dun Kedah kali ini.

Pada 18 Disember lalu, Johari mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi Dun Gurun berkuat kuasa serta-merta dan memaklumkan beliau mengutuskan sepucuk surat bertarikh 13 Disember kepada Speaker Dun Kedah bagi memaklumkan perkara itu.

Sementara itu, Juhari turut mengumumkan bahawa bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah yang juga Adun Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi kini berstatus Adun Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR.

"Beliau lompat sebelum 1 April, kalau pada tarikh itu sudah tak boleh lompat," katanya.

Sebelum ini, Phahrolrazi diumumkan dipecat daripada Amanah susulan tindakannya mempertikai keputusan parti itu bersetuju meletakkan calon DAP di kerusi Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 11:14 AM