DATUK Johari Abdul ketika Sidang Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Parlimen Penggal Pertama Parlimen Ke-15. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Johari Abdul ketika Sidang Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Parlimen Penggal Pertama Parlimen Ke-15. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Johari Abdul yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun, bukan sahaja berpengalaman dalam bidang politik, tetapi juga mahir dalam selok-belok pentadbiran kerajaan.

Johari, 67, yang pernah menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), mula memasuki gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 dengan bertanding atas tiket PKR di Parlimen Sungai Petani, Kedah, pada November 1999, namun tewas.

Beliau kemudian bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan Batu Arang, Selangor pada PRU ke-11, tetapi turut menerima nasib yang sama.

Tewas dua kali ketika bertanding dalam PRU tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya bapa kepada lapan orang cahaya mata ini terus mencuba pada PRU ke-12 sebelum merampas kawasan Parlimen Sungai Petani dan berjaya mempertahankan kerusi itu selama tiga penggal.

Pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dari Lancaster University, England dan Sarjana Muda Pengajian Asia Selatan Universiti Malaya (UM) ini turut menempa sejarah pada PRU ke-14 apabila berjaya memenangi kawasan Dun Gurun dan Parlimen Sungai Petani.

Bagaimanapun, beliau tidak bertanding pada PRU-15 sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq Johari, 26, yang memenangi kerusi berkenaan sekali gus menyaksikan dua beranak itu, kini bergandingan di Dewan Rakyat.

Dalam bidang pentadbiran awam dan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) pula, Johari pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Biro Tatanegara, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Pengarah Pelaburan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Pengarah Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan.

Kelmarin, Johari yang juga bekas Adun Gurun turut mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi Dun berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 3:45 PM