SULTAN Sallehuddin berkenan berangkat ke Wisma Darul Aman hari ini untuk menerima mengadap Muhammad Sanusi bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran DUN. FOTO Bernama
SULTAN Sallehuddin berkenan berangkat ke Wisma Darul Aman hari ini untuk menerima mengadap Muhammad Sanusi bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran DUN. FOTO Bernama
BERNAMA

Alor Setar: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan pada 28 Jun ini.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadap Sultan Kedah pagi ini, bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran DUN.

Sesi menghadap itu diadakan di pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilihat tiba di Wisma Darul Aman pada 10.22 pagi.

Sultan Sallehuddin pula tiba 10.26 pagi dan sempat melambai kepada petugas media yang berkumpul di hadapan pintu pagar utama bangunan itu.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan, akan mencadangkan kepada baginda tarikh pembubaran pada 28 Jun untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Persidangan DUN Kedah yang pertama adalah pada 3 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas Adun Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu selepas dilaporkan menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara Adun Belantek dari Pas Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.

Berita berkaitan: Pentadbiran Kerajaan Negeri akan dijalankan kerajaan interim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 12:39 PM