Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol adik kandungnya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol adik kandungnya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, antara jam 2 hingga jam 3 petang pada Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama di alamat sama, jam 3.30 petang pada 5 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:33 PM