MUHAMMAD Ikram ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMMAD Ikram ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merogol rakan wanitanya yang juga remaja.

Tertuduh Muhammad Ikram Safwan Azmi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lima bulan di empat lokasi berasingan di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus antara 28 Mac hingga 22 April lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:52 PM