GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Seorang warga emas di Felda Chini Timur Dua, di sini, berputih mata apabila kerugian RM140,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai polis.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 63 menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ampang, Selangor kira-kira 9 pagi, 1 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, suspek memaklumkan mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram dan perlu memindahkan semua wang simpanan ke bank lain milik mangsa kononnya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa menuruti arahan suspek dan turut memberikan semua maklumat akaun bank miliknya. Mangsa melakukan pemindahan wang secara berperingkat ke dalam satu lagi akaun bank miliknya berjumlah RM140,000, antara 1 sehingga Selasa lalu.

"Namun 2 petang (Rabu lalu), mangsa membuat semakan baki wang dan mendapati wang berjumlah RM140,000 dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan sejurus itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 9:39 AM