Farah Suhaidah Othman


WANITA berputih mata selepas kerugian RM140,000 diperdaya lelaki yang dikenali menerusi laman sosial sejak Mac lalu.

Lelaki itu mengaku kononnya warga Amerika Syarikat (AS) dan bekerja sebagai pengarah projek di sebuah syarikat luar pesisir di Singapura.

Hanya mahu dikenali sebagai Lee, 56, pekerja syarikat swasta itu berkata, dia mengenali Alvin Ong Wu, 66, menerusi laman Facebook dua bulan lalu yang kemudian meminta wang dengan alasan mahu membayar sewa apartmen di Singapura RM9,500.

“Lelaki itu minta saya masukkan wang ke dalam akaun kononnya pemilik apartmen atas nama Pan Yuk Fong dan atas dasar mahu membantu, saya masukkan wang itu.

“Sejak itu lelaki berkenaan meminta lagi wang tambahan berjumlah RM41,900 dengan mendakwa urusan sewa apartmen masih belum selesai,” katanya ketika ditemui di Ipoh hari ini.

Lee berkata, selepas melakukan dua transaksi berbeza berjumlah RM41,900, dia mula mengesyaki ada sesuatu tidak kena dan meminta lelaki itu memulangkan wang yang dipinjam.

Wanita kerugian RM140,000 selepas diperdaya lelaki yang dikenali menerusi laman sosial. FOTO Muhaizan Yahya
Wanita kerugian RM140,000 selepas diperdaya lelaki yang dikenali menerusi laman sosial. FOTO Muhaizan Yahya

“Dia memberitahu saya, dia sudah memasukkan wang USD14,300 (RM59,323) ke dalam akaun saya dan dia memberikan gambar aplikasi pemindahan telegrafi namun saya dapati nombor akaun saya dalam aplikasi itu tidak mencukupi.

“Lelaki itu sering beri alasan malah memintanya membayar caj bank RM36,000 kononnya bagi mempercepatkan urusan pembayaran balik semula wang dipinjamnya,” katanya.

Menurutnya, dia juga diminta membayar sogokan RM54,000 oleh lelaki berkenaan atas alasan dia menghina dan memarahi pegawai bank yang menguruskan pembayaran balik wangnya.

“Sejak Mac hingga 26 April lalu, saya kerugian RM140,000 dan semua duit itu adalah hasil simpanan dan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) saya.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:39 PM