GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Shah Alam: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang individu menyerahkan wang berjumlah RM140,000 untuk mendapatkan gelaran 'Dato' Seri' yang tidak wujud tahun lalu.

Tertuduh Rohaized Abd Razak, 49, dan Shahferoz Khan Mohamed Ayub Khan, 35, didakwa bersama-sama memperdaya individu berusia 58 tahun bagi menyerahkan wang berjumlah RM140,000 untuk mendapatkan gelaran itu.

Mengikut pertuduhan, perbuatan terbabit dilakukan di sebuah restoran di pusat beli-belah di daerah Petaling antara 10 Nov hingga 10 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam kepada Rohaized, Hazwan Hassan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang merupakan suri rumah, empat anak yang sedang belajar dan dua anak kecil.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Shahferoz Khan turut memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guam memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu dilakukan.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan ikat jamin masing-masing RM9,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 23 Mei ini.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Polis Selangor memaklumkan dua lelaki berkenaan dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan penjualan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran 'Dato' Seri'.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mereka ditahan pada 15 dan 17 Mac lalu dalam dua serbuan di sekitar Melaka dan Selangor, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa pada Februari yang mengalami kerugian sebanyak RM140,000.

Hussein berkata kedua-dua suspek dipercayai menggunakan modus operandi memperdaya mangsa untuk mendapatkan pengurniaan (S.P.M.S) dengan syarat mangsa membuat bayaran sumbangan sebanyak RM600,000.

"Untuk meyakinkan mangsa, suspek memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah tersebut.

"Akibat terpedaya dengan penipuan dan surat yang diterima, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

"Namun mangsa berasa ditipu apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah. Dia kemudiannya tidak menjelaskan baki bayaran sebaliknya membuat laporan polis," katanya.

Hussein berkata polis turut merampas surat yang dipercayai palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 6:13 PM