Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Akibat terjerat dengan 'cinta maya', segelintir individu kesunyian berusia antara 50 hingga 60-an akhirnya diperdaya sindiket 'Love Scam' hingga mengalami kerugian RM25 juta sehingga awal Jun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehingga kini pihaknya menerima 1,047 laporan polis berkaitan kes berkaitan.

Menurutnya, antara kes terbaharu membabitkan seorang suri rumah berusia 50-an yang masih memiliki suami, sanggup menyerahkan RM140,000 kepada seorang jejaka akibat terjerat dengan cinta maya.

"Kebiasaannya individu kesunyian menjadi sasaran sindiket berkenaan yang menyamar sebagai warga asing kononnya dari Korea atau Jepun bekerja di syarikat minyak terkenal.

"Mereka diperdaya untuk membayar cukai kononnya bagi mendapatkan hadiah daripada kekasih selain juga dipelawa untuk berkahwin," katanya.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, mangsa melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank tempatan.

"Akaun bagi tujuan transaksi pemindahan wang pula ada milik warga tempatan.

"Ada pemilik akaun yang menjadi keldai apabila menjual akaun bank kepada sindiket dan akhirnya menerima padah," katanya.

Tambahnya, walaupun pelbagai hebahan menerusi media dilakukan berkaitan love scam, masih ada individu sama ada sudah berkahwin atau berstatus bujang menjadi mangsa dan mengalami kerugian.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Pemakaian Pangkat Rendah Polis Kontinjen Johor sesi 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK Johor di sini, hari ini.

Seramai 118 anggota pegawai menerima peningkatan pangkat kerana menjalankan tugas dengan dedikasi dan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:03 PM