Tuan Asri Tuan Hussein dan Georgie Joseph

Kuala Lumpur: "Upin dan Ipin, bila mahu datang ke Cianjur? Datanglah…kami rindu."

Itu permintaan dan harapan kanak-kanak mangsa gempa bumi besar di desa Pasir Gombong, Cianjur, Jawa Barat, Indonesia, ketika dikunjungi sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM), semalam.

Malah, seramai 20 kanak-kanak terbabit turut menyanyikan satu lagu tema siri animasi popular diterbitkan di Malaysia itu dengan penuh bersemangat.

Mengimbas dua tragedi di Indonesia sebelum ini, penghibur yang memakai kostum Upin dan Ipin pernah hadir menghiburkan kanak-kanak selepas berlaku gempa bumi di Lombok dan tsunami serta gempa bumi di Palu, Sulawesi pada 2018.

Siri kartun Upin dan Ipin yang diterbitkan Les' Copaque Production bermula dengan siri televisyen pada 2007 sebelum diangkat ke layar perak dua tahun kemudian.

Filem animasi itu berjaya mencatat jualan tiket yang membanggakan iaitu RM6.3 juta selepas bertahan di pawagam selama tujuh minggu.

Sementara itu Les' Copaque Production yang dihubungi sangat terharu dengan sokongan dan permintaan peminat dari Indonesia untuk membawa watak Upin dan Ipin menghiburkan mereka di sana.

Bagaimanapun, Pengarah Kandungan Kreatifnya, Nur Naquyah Burhanuddin berkata, mereka perlu menitikberatkan banyak aspek sebelum boleh mengunjungi lokasi ditimpa bencana.

MANGSA gempa bumi di Cianjur dikalangan kanak-kanak mengharapkan kehadiran watak Upin Ipin.
MANGSA gempa bumi di Cianjur dikalangan kanak-kanak mengharapkan kehadiran watak Upin Ipin.

"Untuk Upin dan Ipin hadir, kami hanya boleh ikut serta jika ada pihak yang menjemput. Ini kerana untuk ke tempat yang dilanda bencana ini sangat sulit.

"Harus ada pasukan pakar untuk menjamin keselamatan dan kebenaran bagi memasuki kawasan berkenaan," katanya.

Nur Naquyah juga berkata mereka komited untuk sentiasa menampilkan kandungan yang memberi manfaat dalam episod siri animasi itu termasuk panduan mengenai bencana alam.

"Kami akan cuba menghiburkan peminat cilik dari Indonesia dengan menghasilkan episod baharu untuk tontonan di saluran MNCTV.

"Pada masa hadapan, kami akan selitkan kisah-kisah bencana seperti gempa bumi, gunung berapi, dan sebagainya. Ia supaya bila kejadian seperti ini berlaku, kita tahu apa perlu dilakukan," katanya.

Les' Copaque Production turut mendoakan mangsa bencana di Indonesia dilindungi.

Gempa bumi sekuat 5.8 magnitud pada jam 1.20 tengah hari, 21 November lalu mengorbankan nyawa 334 penduduk serta mengakibatkan 593 cedera parah setakat ini di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 8:52 PM