Saluran Youtube Upin Ipin kini mencecah 10 juta pengikut. FOTO Instagram Les' Copaque
Saluran Youtube Upin Ipin kini mencecah 10 juta pengikut. FOTO Instagram Les' Copaque
Syafil Syazwan Jefri

 

SALURAN YouTube syarikat animasi tempatan, Les' Copaque Sdn Bhd mencipta sejarah sebagai saluran YouTube pertama negara ini menerima penghargaan Diamond Play Button daripada YouTube selepas merekodkan 10 juta pengikut.

Les' Copaque yang cukup sinonim dengan siri animasi Upin & Ipin turut berkongsi berita gembira itu di Instagram dengan memuat naik kapsyen 'Yay! We did it! (Kami berjaya melakukannya) berserta gambar Upin & Ipin menyentuh berlian yang bersinar.  

Pengarah Isi Kandungan Kreatif Les' Copaque Production, Nur Naquyah Burhanuddin ketika dihubungi berkata, ia adalah satu sejarah dan penghargaan besar buat mereka.

"Terima kasih kepada semua peminat karya-karya terbitan Les Copaque dan juga pelanggan yang setia bersama kami di YouTube.

"Kami memang gembira dan sangat berterima kasih kepada semua peminat, pelanggan dan media-media yang turut sama menyokong," katanya.

Nur Naquyah berkata, mereka akan memuat naik video 'unboxing' Diamond Play Button kerana ini adalah penghargaan besar buat mereka menjadi saluran YouTube pertama di Malaysia yang menerima penghargaan itu.

"Teruskan bersama kami di YouTube dan platform-platform media sosial kami yang lain," katanya.

Anugerah YouTube Play Button adalah rangkaian hadiah dari platform berkenaan bertujuan mengiktiraf salurannya yang paling popular.

Kiraan dibuat berdasarkan jumlah pengikut sesebuah saluran dan ditawarkan mengikut budi bicara YouTube.

Bagi kategori The Diamond Play Button, ia dianugerahkan selepas jumlah pengikut mencapai atau mencecah 10 juta.

Selain The Diamond Play Button, terdapat beberapa lagi anugerah seperti The Silver Play Button untuk pengikut mencecah atau melebihi 100,000, The Gold Play Button (1 juta) dan The Custom Play Button (50 juta).

 Les' Copaque berada di tangga pertama daripada 250 saluran tertinggi di Malaysia, mengatasi saluran YouTube Didi & Friends - Lagu Kanak Kanak dengan hampir 4 juta pengikut.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 12:13 PM