FIZI minta maaf atas ketelanjuran katanya kepada Upin dan Ipin. FOTO YOUTUBE LES’ COPAQUE
FIZI minta maaf atas ketelanjuran katanya kepada Upin dan Ipin. FOTO YOUTUBE LES’ COPAQUE
Norhayati Nordin


WATAK Fizi daripada siri animasi popular, Upin & Ipin tampil membuat permohonan maaf menerusi video berikutan kontroversi dialog dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang ditayangkan pada Hari Raya Pertama di saluran MNCTV, Indonesia.

Video permohonan maaf Fizi disiarkan penerbit, Les' Copaque Production Sdn Bhd di saluran YouTube rasmi Les' Copaque Production, hari ini.

Dalam video berdurasi empat minit itu, Fizi mengakui menyesal dengan keterlanjuran katanya kepada Upin dan Ipin.

Turut ditayangkan ialah sebahagian babak yang kontroversi itu hinggalah sambutan Aidilfitri diraikan.

Kontroversi itu tercetus berikutan kata-kata Fizi mengenai syurga tiada untuk anak yatim dalam episod Syahdunya Syawal, baru-baru ini.

Disebabkan itu, Fizi teruk diserang penonton animasi Upin Ipin dari negara ini dan Indonesia yang mendesak supaya permohonan maaf segera dibuat.

"Saya Fizi, nak minta maaf pada Upin dan Ipin di atas apa yang sudah dikatakan. Saya tak sengaja nak cakap macam itu. Lepas kena cubit dengan Mail, saya (Fizi) dah insaf. Harap jangan marah dengan Fizi lagi ye," katanya.

Permohonan maaf Fizi itu disambut baik Upin dan Ipin yang memaklumkan mereka sudah lama memaafkan ketelanjuran kata sahabatnya itu.

Petikan babak Fizi bersama Mail serta Upin Ipin di surau itu terus tular di media sosial hingga Fizi mendapat kecaman hebat termasuk penonton mendesak supaya dia memohon maaf.

Sementara itu, Pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque, Nur Naquyah Burhanuddin dalam kenyataanya berkata, pihak produksi animasi popular itu sangat terbuka menerima kritikan dan komen daripada penonton.

Katanya, ia membuktikan bahawa penonton dengan jelas sangat ambil berat dan sayangkan Upin Ipin.

"Disebabkan itu, ramai yang teremosi apabila Fizi berkata syurga tiada buat anak yatim kepada dua sahabat kembar seirasnya itu," katanya.

Berita Berkaitan

  • Penonton Indonesia gesa watak Fizi Upin Ipin mohon maaf
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:28 PM