BURHANUDDIN (dua dari kanan) dan Putri Yasmin (dua dari kiri) bersama barisan pelakon pada majlis perasmian saluran Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan.
BURHANUDDIN (dua dari kanan) dan Putri Yasmin (dua dari kiri) bersama barisan pelakon pada majlis perasmian saluran Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan.
ANTARA babak program yang bakal mengisi siri Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan.
ANTARA babak program yang bakal mengisi siri Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan.
Syanty Octavia Amry

Siri Animasi Upin & Ipin semakin menjadi pilihan penonton terutama ibu bapa yang mahu berkongsi kisah pasangan kembar itu dengan anak mereka.

Lantaran itu, bagi mengembalikan kenangan penonton pada awal kemunculan cerita Upin & Ipin, Les’ Copaque Production Sdn Bhd bekerjasama dengan Astro menyiarkan siri itu menerusi saluran khas.

Menerusi saluran Astro First 480, siri yang diberi nama Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan itu sudah menemui penonton bermula semalam dan akan ditayangkan sepanjang musim cuti sekolah ini.

Menariknya, pelanggan Astro dapat menyaksikan tayangan selama 72 jam atau tiga hari dengan bayaran RM15.90. Selain tayangan kompilasi drama bersiri Upin & Ipin, penonton juga dapat menyaksikan program lain seperti siri animasi Pada Zaman Dahulu, DaDuDiDo dan Kembara Warisan Detektif Upin & Ipin.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata, kerjasama itu adalah langkah berani pihaknya dalam inisiatif untuk mempunyai saluran TV sendiri.

“Ini adalah program himpunan dan kompilasi siri Upin & Ipin yang kami kumpulkan sejak dulu yang dapat disaksikan penonton selama tiga hari tanpa henti. Menerusi saluran khas ini juga, penonton dapat menonton siri animasi lain juga. Lebih menarik, Kembara Warisan Detektif Upin & Ipin adalah program baru yang belum pernah kami tayangkan di mana-mana saluran TV.

“Untuk program kembara ini kami berkerjasama dengan Jabatan Warisan Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Program ini diwujudkan bertujuan memperkenalkan lokasi, permainan tradisional, variasi makanan dan pelbagai barangan warisan negara yang perlu dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Burhanuddin berkata, tidak sekadar menayangkan program berbentuk hiburan, pihaknya juga mahu penonton menghayati kandungan cerita yang disampaikan dengan menerapkan elemen nilai murni, beridentiti Asia dan punya tarikan global yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, pihaknya memilih untuk berkerjasama dengan Les’ Copaque Production kerana yakin program yang disiarkan tidak hanya berjaya mencipta satu fenomena tetapi mampu menanam nilai kekeluargaan dalam masyarakat.

“Kami bangga dan gembira melihat usaha Les’ Copaque dalam mengangkat martabat dan nilai murni masyarakat Malaysia melalui siri pasangan kembar Upin & Ipin ini sehingga berjaya. Perkara inilah antara sebab mengapa kami sudi bekerjasama dengan mereka.

“Penyiaran program ini juga turut menampilkan pelbagai barangan edisi terhad Upin & Ipin yang boleh didapati menerusi platform iSooka Malaysia di www.isooka.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 3:58 AM