KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia Datuk Ab Ghaffar A Tambi memegang sebahagian produk Upin & Ipin yang dijual di pasaran.
KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia Datuk Ab Ghaffar A Tambi memegang sebahagian produk Upin & Ipin yang dijual di pasaran.
Suliati Asri


Gelagat mencuit hati karakter animasi popular Upin & Ipin sememangnya cukup menghiburkan bukan hanya kanak-kanak, tetapi juga semua peringkat umur.

Jalan cerita yang baik dan menghiburkan selain menerapkan unsur teladan menjadikan Upin & Ipin siri animasi yang popular bukan saja di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan luar biasa di Indonesia dan seluruh Asia tenggara.

Turut mengetengahkan keunikan Malaysia daripada pelbagai segi termasuk latar belakang suasana kampung yang damai, ia nyata satu platform dalam mengetengahkan keunikan budaya Malaysia ke seantero dunia.

Terbaru, Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC) mengumumkan pelantikan Upin Ipin sebagai Duta Pelancongan Malaysia yang baru.

Pelantikan itu menjadikan si kembar ini sebagai duta pelancongan Malaysia yang ke-12, menyertai selebriti Malaysia lain yang dilantik sebelumnya antaranya Prof Datuk Dr Jimmy Choo, Yunalis Mat Zara’ai (Yuna) dan Datuk Ismail Ahmad (Cef Ismail).

Kerjasama antara MOTAC dan les’Copaque Production, pemegang harta intelek Upin & Ipin ini dilihat sebagai satu langkah bijak bagi mempromosikan kesenian dan kebudayaan Malaysia.

Menerusi siri animasi ini, selain berlatarbelakangkan suasana kampung, ia juga mendukung tema tradisi dan budaya Malaysia.

Upin, Ipin dan kawannya juga sering dilihat bermain permainan tradisional Malaysia seperti konda-kondi, galah panjang dan sepak takraw dalam siri animasi ini.

Aspek kesenian juga turut dipertontonkan dengan persembahan hebat boria, kompang dan wayang kulit yang pernah diketengahkan dalam siri animasi ini.

Pelbagai makanan unik Malaysia turut dipaparkan seperti nasi lemak, ubi kayu, lemang periuk kera dan durian duri hitam.

Selain berjaya menambat hari penonton di dalam dan luar negara, Upin & Ipin juga memenangi pelbagai anugerah dalam serta antarabangsa. Ini mengukuhkan kedudukan sebagai watak animasi paling ikonik di Malaysia.

Antara anugerah yang pernah dimenangi termasuk Power Brand Award (Asia Entrepreneus Summit), MNCTV Anugerah Kartun (MCBC Business Excellence Award) dan Watak Animasi Tempatan Popular (Anugerah Bintang Popular).

Upin & Ipin juga mempunyai 12 juta ‘like’ di Facebook rasminya. Ia juga mempunyai lebih sejuta langganan dan satu bilion tontonan di siaran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 12:57 PM