Razib Ali Awang
Razib Ali Awang
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Pusat pelancongan bertaraf antarabangsa di Pulau Tioman terus mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa hampir sepanjang tahun.

Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, selepas lebih dua tahun pulau berkenaan sepi daripada pelancong berikutan wabak Covid-19, kini industri pelancongan kembali aktif.

Menurutnya, usaha gigih pemimpin untuk mengaktifkan semula sektor pelancongan di situ terbukti berhasil dan memberi nafas baharu kepada peniaga yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelancong.

"Saya dapati pemimpin sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan penduduk dengan menyediakan pelbagai bantuan, termasuk apabila tiba musim tengkujuh," katanya, di sini, hari ini.

Razib berkata, sebagai pemimpin di peringkat kampung, beliau mengharapkan penduduk Kampung Juara memilih calon yang boleh membawa kemajuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kali ini.

Beliau berkata, gelombang politik negara yang tidak menentu kini diharap tidak menjejaskan sokongan pengundi Pulau Tioman khususnya terhadap BN yang berpengalaman luas memimpin negara sejak negara merdeka.

Bagi Ketua Kampung Salang, Mohd Shrif Rahmat, setiap bulan wakil rakyat sebelum ini berkunjung ke Pulau Tioman bagi melihat sendiri perkembangan semasa selain bertemu dengan penduduk sambil meninjau kemudahan asas yang diperlukan.

"Saya sentiasa mengingatkan kepada golongan muda supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji manis pihak yang hanya ingin meraih undi saja," katanya.

Mohd Shrif menambah, di Pulau Tioman kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bertujuan menarik lebih ramai pelancong datang ke pulau ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 1:38 PM