MOHD Hizamri (tengah) menyiram pokok kelapa mataq di Kampung Juara. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Hizamri (tengah) menyiram pokok kelapa mataq di Kampung Juara. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mama

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan membekalkan pokok kelapa mataq secara berperingkat untuk ditanam di pesisir pantai pusat pelancongan Kampung Juara, Pulau Tioman.s

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pokok kelapa sesuai ditanam di sepanjang pantai Kampung Juara yang bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi juga dapat menghalang hakisan pantai terutama pada musim tengkujuh.

“Keunikan Kampung Juara yang merupakan perkampungan pertama dibuka di Pulau Tioman akan lebih menyerlah terutama apabila terdapat banyak pokok kelapa di sepanjang kawasan pantai.

“Kita juga akan membekalkan pokok ru pantai dan ketapang sekiranya penduduk berminat untuk menanamnya di kawasan yang difikirkan sesuai,” katanya pada Program Penanaman Pokok Persisiran Pantai Bersama Penduduk Kampung Juara, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Kampung Juara Ab Razib Ali Awang.

Sebanyak 100 pokok kelapa mataq ditanam secara gotong-royong oleh kakitangan JPNP dan penduduk setempat.

Sementara itu Ab Razib berkata, pihaknya menyambut baik usaha JPNP untuk mengindahkan pesisiran pantai Kampung Juara dengan cara menanam pokok kelapa.

Katanya, setiap tahun lebih 120,000 pelancong berkunjung ke Kampung Juara untuk berehat sambil menikmati keindahan semulajadi hutan dan pantai.

“Kita akan bekerjasama dengan JPNP untuk menanam pokok kelapa di kawasan sesuai di Kampung Juara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 12:07 PM